Dua beradik, Siti Nursyafiqah Ahmad Norazizan dan Ahmad Norziqri Ahmad Norazizan dianugerahkan gelaran ‘Kumon Completer’ sempena Kumon Advance Students Forum bertempat di IOI Grand Exhibition & Convention Centre, IOI City Mall Putrajaya, di sini.
Syafiqah, 21 dan Ziqri, 20 merangkul sijil dan plak ‘Kumon Completer’ pada 27 April lalu setelah berjaya menghabiskan kesemua modul yang disediakan oleh pihak Kumon.
Hantarannya di laman sesawang TikTok menjadi tular baru baru ini kerana ramai tidak tahu akan kewujudan ‘Kumon Completer’.
Syafiqah yang juga merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat berkata, perjuangannya untuk menamatkan program ini adalah tidak mudah kerana Kumon mengamalkan konsep ‘self-learning’.
“Kalau macam tuisyen lain, saya akan belajar bersama-sama dan akan ada cikgu mengajar di hadapan, tapi Kumon tak. Kumon mempraktikkan supaya kita ‘self-learning’ iaitu kita belajar sendiri dahulu,” ujarnya.
Gadis itu mengakui bahawa perjalanan menghabiskan modul ini tidak mudah dan pernah beberapa kali mengalah dan rasa ingin berhenti.
“Sebenarnya sudah beberapa kali cuba untuk berhenti, tetapi disebabkan kekuatan daripada mak ayah yang mahu saya habiskan (Kumon) membuat saya rasa saya kena habiskan. Alhamdulillah saya berjaya,” katanya ketika ditemu bual.
Difahamkan, rakan-rakannya yang menyertai Kumon rata-rata berhenti selepas satu atau dua tahun dan tiada yang berjaya menamatkan program tersebut.
Syafiqah akhirnya berjaya menamatkan Kumon pada tahun lalu ketika berusia 20 tahun. Menurutnya, program tersebut boleh dihabiskan lebih awal ketika dia berusia 18 tahun namun tergendala akibat kekangan masa.
Kata Syafiqah, Kumon bukan sahaja mengajarnya untuk mahir dalam subjek Matematik, malah membantunya untuk menyelesaikan masalah dengan sendiri secara kritis kerana terbiasa dengan konsep ‘self-learning’ yang diterapkan dalam dirinya sejak kecil.
Dua kakak mereka iaitu Siti Nuraqilah Ahmad Norazizan dan Siti Nuratiqah Ahmad Norazizan juga pernah menerima anugerah ‘Kumon Completer’ pada tahun 2019 di Hotel Marriott, Putrajaya.
Aqilah, 27 yang sedang berkhidmat sebagai penganalisa sistem di Shah Alam berkata, pada mulanya keputusan mereka empat beradik untuk menyertai Kumon adalah pilihan ibu mereka. Namun, mereka bersyukur kerana ibu mereka membuat pilihan sedemikian.
“Mak saya masukkan kami ke program ini untuk memupuk semangat suka subjek Matematik dalam diri kami sejak kecil. Alhamdulillah, sejak tadika lagi, kami selalu mendapat keputusan cemerlang dalam subjek Matematik dan kami juga sering bantu rakan-rakan yang kurang mahir dalam bidang tersebut,” kata Aqilah.
