
Shah Alam – Pemain futsal kebangsaan, Muhammad Haiqal Hasnor yang dipanggil buat kali pertama bersama skuad negara bertekad mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk ke final Kejohanan Futsal ASEAN yang akan berlangsung pada 2 November di Nakhon Ratchasima, Thailand.
Menurut Haiqal, saingan di peringkat kumpulan juga agak mencabar dimana skuad negara diundi bersama juara bertahan, Thailand di dalam kumpulan A bersama-sama Vietnam, Brunei dan Timor Leste.
“Thailand dan Vietnam adalah saingan terkuat pasukan negara tetapi bagi saya tiada yang mustahil dan saya yakin kami dapat capai sasaran yang ditetapkan”, katanya.
Haiqal yang juga merupakan penuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menjadi satu-satunya pemain dari Liga Futsal IPT yang berjaya menerima panggilan untuk bersama skuad negara ke Thailand.

Memegang status sebagai seorang pelajar menjadi cabaran buat Haiqal membahagikan masanya untuk belajar dan menyumbang keringat buat negara tetapi kebanyakan pensyarah di Fakulti Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam bersifat terbuka dan yakin dengan beliau.
“Agak sukar pada awalnya untuk saya mendapat pelepasan untuk menjalani latihan di luar kampus tetapi selepas menjelaskan kepada pensyarah-pensyarah saya tentang peluang yang tidak mudah datang ini, mereka akhirnya menyokong saya”
“Keluarga juga sudah menerima sepenuhnya penglibatan saya dalam bidang sukan ini dan menyokong”, katanya ketika ditemui di Wisma FAM pada sabtu.
Skuad negara akan berlepas ke Thailand pada 23 November ini bagi meneruskan latihan di arena kejohanan.