559 views 3 mins 0 comments

Netizen Kecam Graduan UiTM Beri Isyarat Kurang Sopan kepada Permaisuri Selangor

In Berita, Kampus
November 24, 2025
Tangkap layar rakaman video tindakan kurang sopan graduan UiTM beri isyarat lihat kamera kepada Permaisuri Selangor pada Istiadat Konvokesyen ke-103.

SHAH ALAM – Tindakan seorang graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) memberikan isyarat kurang sopan kepada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan meminta baginda memandang ke arah kamera semasa menerima skrol pada Istiadat Konvokesyen ke-103 universiti tersebut mendapat  kecaman hebat netizen.

Dalam video berdurasi 11 saat yang dimuat naik ke akaun Instagram Fakulti Sains dan Matematik itu, graduan terbabit dilihat menuding jari kepada sekumpulan jurufoto di bawah pentas sambil mengarahkan baginda mengalihkan pandangan ke sudut tersebut untuk bergambar.

Tindakan spontan tersebut menyebabkan baginda yang juga Pro-Canselor UiTM sedikit terkejut kerana apa yang dilakukan graduan berkenaan tidak seiring dengan protokol majlis.

Tangkap layar antara komen yang ditinggalkan netizen di ruangan komen rata-ratanya menyelar tindakan graduan berkenaan.

Tinjauan Shah Alam Times diruangan komen mendapati rata-rata netizen menyelar tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak menghormati institusi diraja dan memalukan.

“Apa pun alasan, masih tidak beradab, istiadat itu bukan majlis, istiadat ada protokol dan sidang itu diberikan oleh Permaisuri,” kata seorang pengguna Thread.

Seorang lagi netizen turut meluahkan rasa kecewa terhadap sikap graduan berkenaan serta meminta tindakan tegas diambil.

“Macam itu saja dia suruh Permaisuri tengok kamera demi gambar dia. Memalukan UiTM.

“Harap budak ni digantung sijil konvo dia dan ambil satu lagi sem, course adab,” katanya.

Sementara itu, seorang alumni UiTM meluahkan rasa kesal dengan perbuatan graduan tersebut yang dianggap memalukan nama baik universiti.

“Sebagai alumni UiTM, sangat malu bila tengok video graduan suruh Permaisuri Selangor pandang kamera masa nak bagi skrol, adab dan protokol mana?,” ujarnya.

Insiden graduan tidak mematuhi protokol istiadat dan majlis konvokesyen bukanlah perkara baharu di universiti tersebut, malah dilaporkan semakin menjadi-jadi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2023, seorang graduan wanita di UiTM menerima teguran daripada pihak universiti susulan tindakan kurang sopannya menyuruh Naib Canselor UiTM ketika itu, Profesor Ts. Dr. Roziah Mohd Janor memandang ke arah kamera ketika menerima skrol pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-97.

Insiden sama turut berlaku tahun lalu ketika Istiadat Konvokesyen UiTM ke-100 yang menyaksikan beberapa graduan universiti tersebut melakukan aksi mengikut trend TikTok ketika menuruni pentas selepas menerima skrol.

Susulan itu, UiTM telah mengeluarkan peringatan kepada penerima skrol untuk tidak melakukan aksi sedemikian ketika berada di atas pentas bagi menghormati majlis istiadat berkenaan.

Rentetan kejadian yang kerap berulang itu, pelbagai pihak menggesa supaya pihak pengurusan universiti mengambil langkah lebih proaktif bagi mengelak perkara sama berulang lagi pada masa hadapan.

Nik Iman
/ Published posts: 6

Kebenaran tak perlu dihias