SHAH ALAM – Kekurangan tenaga kerja akibat krisis penuaan di Jepun membuka peluang kepada penyedia latihan korporat tempatan, CakapJepun.com meneroka pasaran tenaga kerja dengan menawarkan kursus bahasa Jepun kepada rakyat negara ini yang berminat bekerja dengan syarikat di negara matahari terbit itu.
Pengasasnya, Haris Mohd Ghazali berkata, permintaan terhadap pekerja luar semakin mendapat permintaan berikutan pertambahan populasi warga tua yang drastik sehingga memberi kesan kepada ekonomi negara tersebut.
“Sebelum ini syarikat kami banyak menghantar pekerja ke Jepun bagi menampung masalah kekurangan tenaga kerja akibat krisis penuaan di negara tersebut.
“Bagaimanapun, syarikat-syarikat Jepun mula menyedari bahawa proses membawa masuk pekerja luar adalah memenatkan serta menelan kos yang tinggi.
“Rentetan itu, banyak syarikat Jepun mula mengambil pendekatan berbeza dengan mempersoalkan keperluan mengimport pekerja luar, dan sebaliknya memilih untuk membuka operasi perniagaan mereka secara terus di Malaysia,” katanya.
Menyedari perubahan ekosistem tersebut, CakapJepun.com mengubah strategi perniagaan dengan menawarkan latihan bahasa Jepun melalui anak syarikatnya CJ Consultancy bagi memenuhi permintaan tinggi syarikat dari negara ekonomi keenam terbesar dunia itu yang membuka cawangan di Malaysia.
Jelasnya, pekerja Malaysia yang menguasai bahasa Jepun memiliki kelebihan yang luar biasa.
Hal ini kerana, kebanyakan pengurus atau pengurusan tertinggi syarikat Jepun dari golongan berumur yang menghadapi kesukaran berbahasa Inggeris.
“Kemahiran berbahasa Jepun membolehkan pekerja tempatan membina kerjaya dan naik pangkat dengan lebih pantas, malah melangkaui kelebihan kelayakan akademik semata-mata,” ujarnya lagi.
Menurut Haris lagi, trend penghijrahan tidak hanya terhad kepada sektor perniagaan, malah turut melibatkan keluarga Jepun secara individu.
Tambahnya, ramai keluarga dari negara tersebut mengambil keputusan drastik untuk berhijrah dan menghantar anak-anak mereka menyambung pengajian di universiti-universiti di Malaysia demi memastikan generasi baharu mereka dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
“Dalam konteks ini, CakapJepun turut memberikan sokongan fasilitasi kepada keluarga-keluarga Jepun yang berhijrah ke negara ini,” katanya lagi.
Untuk rekod, syarikat tersebut kini mengendalikan program pertukaran latihan jangka panjang diantara Mazda Malaysia dan Mazda Jepun.

