SHAH ALAM – Meninggalkan kerjaya hakiki sebagai seorang jurutera bertauliah demi mengejar impian membesarkan empayar perniagaan sendiri bukanlah satu keputusan mudah.
Namun, bagi Mohammad Ariff Amri Ahmad Buridah, 41, langkah tersebut harus dibuat bagi menjadikan angan kosongnya sebuah kenyataan.
Anak jati kelahiran Perak itu membuktikan bahawa latar belakang pendidikan Jurutera bukan penghalang, sebaliknya menjadi pemangkin kepada kejayaan empayar hadiah perkahwinan miliknya, HumairaGift.
Namun, di sebalik kemegahan namanya hari ini, tidak ramai yang tahu bahawa segalanya bermula di sebuah unit flat kecil yang sempit di tingkat enam, Shah Alam PKNS.
Mengimbau kenangan awal, Ariff menceritakan bagaimana beliau gigih mencari jalan untuk menyara keluarga selepas isterinya berdepan kesukaran mendapat pekerjaan usai tamat pengajian.
Isterinya cuba untuk membantu dari segi pendapatan dengan menjadi guru kelas tuisyen, namun selepas usaha tersebut tidak membuahkan hasil, mereka nekad mencuba nasib dalam perniagaan percetakan dan pembuatan coklat secara kecil-kecilan dari rumah.
“Pada waktu itu, kami hanya beroperasi dari rumah tingkat enam Shah Alam PKNS, sewaktu itu, kami merasakan agak sukar kerana ekonomi yang tidak stabil dan tempat perniagaan yang agak tidak selesa bagi kami dan juga pelanggan” katanya kepada Shah Alam Times.
Bagaimanapun, langit tidak sentiasa cerah apabila perjalanan perniagaan mereka diuji dengan kemelut kewangan yang sangat kritikal sehingga menjejaskan kestabilan kehidupan peribadi.
Detik paling hitam buat Ariff dan keluarga adalah apabila mereka hampir kehilangan tempat berteduh selepas rumah kediaman mereka hampir dilelong oleh pihak bank ekoran tekanan ekonomi.

Enggan Menyerah Kalah
Enggan menyerah kalah dengan takdir, tekanan tersebut menjadi titik tolak untuk beliau bekerja lebih keras dan merangka strategi perniagaan yang lebih agresif demi kelangsungan hidup.
Mereka bangkit mengumpul baki modal yang ada untuk menyewa rumah lain sebagai pusat operasi, sebelum keberanian itu membuahkan hasil dengan pembukaan kedai fizikal pertama pada tahun 2015 akibat permintaan yang tinggi.
Berkat kesabaran dan usaha tanpa henti, tahun 2021 melakar sejarah tersendiri apabila HumairaGift berjaya memiliki kilang sendiri seluas 18,000 kaki persegi yang kini dikenali sebagai HumairaGift HQ, di situ operasi pencetakan, pembungkusan, pembuatan manisan dan cenderahati dijalankan.
“Kilang ini ditubuhkan berikutan permintaan yang tinggi di pasaran, oleh itu saya dan isteri bercadang membuka kilang adalah jalan yang tepat pada tahun itu” ujarnya.
Bagi memastikan kelancaran operasi di kilang tersebut, Ariff memanfaatkan kepakarannya sebagai jurutera untuk membangunkan sistem pengurusan sendiri yang dinamakan ‘susun.my’.
“Melihat kepada lambakan permintaan dalam pengeluaran bakeri dan percetakan, sistem ini direka khusus bagi melancarkan urusan antara pihak kami dan pelanggan,” jelas beliau.
Sistem inovasi dalaman itu berfungsi mengoptimumkan aliran kerja, bermula daripada pengurusan stok hinggalah kepada proses jualan yang tepat dan pantas buat setiap pelanggan.
Kini, syarikat tersebut berdiri teguh dengan tiga cawangan fizikal di lokasi strategik iaitu di Ipoh, Johor dan Shah Alam, selain memiliki wakil jualan di Singapura serta berjaya melebarkan sayap perniagaan sehingga ke pasaran Borneo.
Tidak mahu sekadar bergantung kepada pasaran majlis perkahwinan, Ariff turut menubuhkan tiga lagi jenama sokongan iaitu Geegit, The Hadayah, dan MajlisKami bagi memenuhi pelbagai segmen pelanggan.
Melangkah ke hadapan, misi utama HumairaGift adalah untuk menembusi pasaran korporat secara agresif dengan sasaran jualan bulanan melebihi angka RM600,000, selain menjangkau pasaran antarabangsa yang lebih meluas.
