SHAH ALAM: Kehadiran warga asing yang semakin meningkat di Pusat Komersial Seksyen 7, Shah Alam di sini mula menimbulkan rasa ketidakselesaan serta mencetuskan kerisauan golongan pelajar yang melalui kawasan tersebut.
Keresahan ini dirasai oleh segelintir golongan mahasiswi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang sering mengunjungi pusat komersial tersebut untuk urusan harian.
Nur Syalika Abd Rahman, 23 mendakwa mereka diganggu dengan gangguan lisan seperti catcalling oleh golongan warga asing ketika berjalan dikawasan tersebut bersama rakan-rakannya.
“Walaupun kami jalan secara beramai-ramai, kami tetap rasa tak selamat sebab kena catcalling seolah-olah mereka tidak berasa takut buat gangguan macam tu di tempat orang ramai dan pada masa yang sama menimbulkan rasa takut juga dalam diri kami,” jelasnya.
Situasi cemas yang sama turut dialami oleh seorang lagi mahasiswi, Nur Fazlina Amil Hasli, 21, yang mendakwa diganggu malah diekori oleh individu yang tidak dikenali ketika waktu rehat di tempat kerjanya.
“Individu tersebut mengejar saya dan meminta akaun Instagram saya dan dalam masa yang sama, individu tersebut mula mendoakan perkara yang buruk terhadap diri saya seolah-olah ingin mengugut saya.
“Tindakan itu benar benar membuatkan rasa takut dan tidak selamat,” katanya.
Sementara itu, setiausaha Persatuan Penduduk Pusat Komersial Seksyen 7 (PPPKS7), Muhammad Razib Hasan, 43, mengesahkan bahawa pihaknya banyak menerima laporan daripada penduduk dan pelajar tentang isu gangguan yang berpunca dari warga asing.
Razib berkata bukan sahaja isu gangguan, malah ada juga penduduk yang menyuarakan kerisauan tentang pemilikan premis oleh warga asing dikawasan sekitar.
“Memang banyak aduan yang saya terima daripada penduduk lebih-lebih lagi tentang kedai-kedai yang dipelopori oleh warga asing macam kedai basuh kereta, kedai runcit dan banyak lagi.
“Sedikit sebanyak menimbulkan rasa ketidakselesaan kepada penduduk dan masyarakat yang datang ke sini,” ulasnya.
