SHAH ALAM — Masjid bukan sekadar berperanan sebagai tempat ibadah, malah ia juga berfungsi sebagai pusat pembangunan sosial dan sahsiah ummah, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Menyedari potensi tersebut, Masjid An Nur, Temasya Glenmarie mengambil langkah proaktif menganjurkan acara mini ‘Jom ke Masjid 2.0’ sebagai usaha berterusan mendidik masyarakat tentang kepentingan institusi agama itu kepada masyarakat, baru-baru ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Masjid, Muhammad Shafiq Badrulazlan, penganjuran program ini bertujuan mengubah persepsi masyarakat terhadap fungsi masjid sebagai pusat membina sahsiah, memperkukuh nilai kekeluargaan, dan menyemai semangat kesukarelawan serta perpaduan dalam komuniti.
“Kami mahu masyarakat melihat masjid sebagai tempat yang mesra keluarga dan terbuka kepada semua golongan, termasuk anak muda.
“Masjid berpotensi besar menjadi pusat pembangunan sosial dan sahsiah ummah jika dimanfaatkan secara menyeluruh,” katanya.
Karnival dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna kanak-kanak, ceramah santai motivasi, serta pameran agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Selain pengisian berbentuk keagamaan, karnival tersebut turut menampilkan gerai jualan usahawan tempatan yang menawarkan pelbagai produk makanan, minuman dan kraf tangan, sekali gus membantu merancakkan ekonomi komuniti setempat.
Menurut Muhammad Syafiq, penganjuran kali kedua program tersebut juga adalah respon kepada sambutan positif edisi pertama yang diadakan pada tahun 2019.
Seorang pengunjung, Hafiz Sidek, 34, berkata program seperti itu memberikan peluang kepada ibu bapa untuk membawa anak-anak mendekati masjid dengan cara yang menyeronokkan dan mendidik.
“Biasanya anak-anak hanya datang ke masjid ketika solat sahaja, tetapi hari ini mereka bermain, belajar dan membuat kawan baharu. Ia satu pengalaman berbeza dan positif,” katanya.

Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Ahmad Tirmizi Haji Ali yang berkongsi mengenai kebaikan al-Quran serta menyampaikan tazkirah ringkas, sekali gus menyatukan elemen riadah dan kerohanian.
Dengan sambutan menggalakkan, pihak penganjur berhasrat menjadikan Mini Karnival ‘Jom ke Masjid’ sebagai acara tahunan bagi memperkukuh peranan masjid sebagai pusat komuniti dan institusi pembangunan ummah.
