744 views 56 secs 0 comments

SIBF 2025 Kukuh Kerjasama Industri Pembukuan Malaysia – China

In Berita
November 30, 2025
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berkenan melawat ruang pameran penerbit buku Wilayah Guangdong pada SIBF 2025, di Pusat Konvensyen Setia Alam. (Foto: Instagram selangorlibrary)

SHAH ALAM — Pameran Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 memperkukuh kerjasama industri pembukuan antara Malaysia dan China apabila Southern China Book Fair (SCBF) kembali sebagai rakan rasmi buat tahun kedua berturut-turut.

SIBF tahun ini memperkukuh aspek pengantarabangsaan pameran apabila SCBF sekali lagi dipilih sebagai rakan rasmi pameran buku mewakili wilayah Guangdong, China.

Wilayah tersebut terkenal sebagai hab penerbitan terbesar di selatan China, bukan sahaja kerana jumlah buku yang diterbitkan setiap tahun, tetapi juga kekuatan teknologi percetakan, industri kreatif serta kepelbagaian budaya Kantonis yang menjadikan karya mereka unik di mata pembaca antarabangsa.

Selain menjadi pusat perdagangan utama, Guangdong turut menerbitkan jutaan buku setiap tahun, menjadikannya salah satu pemacu penting kepada perkembangan literasi dan pemahaman budaya masyarakat Cina di peringkat global.

Kehadiran delegasi penerbitan dari Guangdong pada SIBF 2025 turut mengukuhkan hubungan budaya, perdagangan serta pendidikan antara Malaysia dan negara tembok besar itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Beijing Gliese Culture & Media Co. Ltd merangkap penganjur SCBF, Weely Lee, berkata lebih 10 penerbit dari Guangdong mengambil bahagian pada edisi tahun ini.

Menurutnya, penyertaan tersebut bertujuan mempromosikan budaya Guangdong kepada masyarakat Malaysia yang mempunyai minat membaca yang tinggi.

“Kebanyakan buku yang kami bawa merangkumi budaya masyarakat Cina, sejarah, novel dan fiksyen supaya pembaca tempatan dapat memahami budaya Guangdong dengan lebih mendalam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini mencari novel Melayu, karya asli tempatan serta buku bergambar kanak-kanak untuk diperkenalkan ke pasaran China, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama penerbitan.

Emira Aqilah
/ Published posts: 4

More than meets the eye, with a story to tell.