KUALA LUMPUR — Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan jadual waktu baharu KTM Komuter Lembah Klang termasuk laluan Subang Jaya–Pelabuhan Klang, bermula 1 Januari 2026.
Perubahan jadual ini dibuat selaras dengan kemajuan kerja Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa II (KVDT2) yang sedang dilaksanakan.
Menurut kenyataan media KTMB, pelarasan jadual ini bertujuan meningkatkan kelancaran perjalanan tren, mengoptimumkan pergerakan di sepanjang laluan terlibat, serta menyokong penyediaan perkhidmatan yang lebih konsisten kepada pengguna.
“Perkhidmatan bas ulang-alik di laluan Subang Jaya–Pelabuhan Klang serta stesen-stesen perantara, termasuk Shah Alam, tidak lagi disediakan mulai tarikh berkuat kuasa.
“Sebagai penambahbaikan, perkhidmatan tren akan beroperasi di kedua-dua arah di laluan Pelabuhan Klang, termasuk semua stesen perantara pada waktu pagi dan petang mengikut jadual baharu,” kata kenyataan tersebut.
Bagi memenuhi keperluan penumpang waktu puncak, kekerapan tren setiap 30 minit akan disediakan di laluan Pelabuhan Klang–Kuala Lumpur.
KTMB turut memperkenalkan dua perkhidmatan tren dari Tanjung Malim ke Pelabuhan Klang serta satu perkhidmatan tren yang melalui KL Sentral dan berhenti di stesen Shah Alam pada waktu pagi.
Dalam masa sama, kerja-kerja penyelenggaraan dan penutupan landasan akan dilaksanakan setiap hari antara jam 11 pagi hingga 3 petang.
Orang ramai boleh menyemak jadual waktu terkini melalui aplikasi KITS STYLE atau laman web rasmi KTMB.
Selain itu, maklumat tambahan boleh diperoleh melalui saluran media sosial rasmi KTMB atau dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.
