659 views 2 mins 0 comments

Dinah Puas Bantu Skuad Ragbi Kebangsaan Gondol Perak di Sukan Sea

In Sukan
January 02, 2026
Aksi cemerlang Dinah menewaskan Indonesia 22-7 pada Temasya Sukan SEA Bangkok, Disember lalu.

SHAH ALAM – Pemain penyerang skuad ragbi tujuh sebelah (7s) wanita kebangsaan, Dinah Syafiqah Sadali menggambarkan bahawa dirinya berpuas hati apabila berjaya membantu Malaysia memenangi pingat perak acara ragbi wanita di Sukan SEA Thailand, di Bangkok, Disember lalu.

Walaupun menghadapi kecedaraan di bahagian pergelangan tangan semasa kejohanan Asia Rugby 7s Series di China dua bulan sebelum temasya dwitahunan itu, ia tidak melunturkan semangat atlet yang mesra disapa Dinah itu beraksi cemerlang.

“Sejujurnya mental saya berada dalam keadaan yang rendah dalam masa dua bulan itu, namun apabila melihat rakan sepasukan yang lain menjalani latihan dengan bersungguh, semangat saya terus meningkat.

“Saya juga mahu ucapkan terima kasih kepada jurulatih  dan rakan sepasukan kerana tetap percaya akan (kemampuan) saya,” jelas atlet berusia 23 tahun itu. 

Dalam perlawan akhir yang berlangsung di Royal Thai Air Force, Bangkok, Thailand menundukkan skuad kebangsaan untuk memenangi pingat emas.

Biarpun tewas 0-37 di tangan tuan rumah Thailand dalam perlawanan akhir, skuad ragbi kebangsaan mendapat pujian atas semangat yang ditunjukkan.

Skuad wanita menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang temasya apabila berjaya mengalahkan Indonesia 22-7, Filipina 24-12 dan Singapura 21-19 untuk mara ke final bertemu Thailand. 

Walaupun prestasi yang ditunjukkan skuad wanita cemerlang, Dinah akur bahawa dia tetap berasa gugup dan takut semasa di Bangkok. 

“Saya rasa gugup kerana bagi saya, ini adalah tanggungjawab yang besar bukan sahaja untuk negara, tetapi juga demi kelangsungan sukan ragbi wanita di Malaysia.

“Namun apabila saya sudah berada dalam padang, saya alih perhatian saya dan fokus untuk mencapai target,” kata atlet kelahiran Johor ini. 

Dinah berharap dia dapat menampilkan permainan yang lebih matang pada masa akan datang.

“Saya harap saya dapat menambah baik daya kecergasan, daya ketahanan, dan kemahiran dalam sukan ragbi ini dan menjadi inspirasi kepada atlet lain.

“Apa sahaja berlaku, saya ingin terus bermain dengan hati yang gembira dan dapat menikmati setiap masa kerana sukan ini merupakan sebahagian dalam hidup saya,” ujar Dinah.

Khairul Danish
/ Published posts: 3

Menyuluh fakta hanya dengan sebatang pena