131 views 3 mins 0 comments

RUU e-Dagang perkukuh ekosistem perdagangan digital, lindungi PMKS

In Ekonomi, Usahawan
October 17, 2026
Kewujudan undang-undang khusus e-Dagang penting bagi menjelaskan tanggungjawab platform dalam melindungi pengguna dan PMKS. - Gambar: Pixabay. Foto Kecil: Dr Ibtisam @ Ilyana Ilias

SHAH ALAM, 16 Okt – Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang yang dibentangkan kerajaan dalam Belanjawan 2027 dilihat berpotensi mengukuhkan ekosistem perdagangan digital yang lebih telus, selain melindungi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ibtisam @ Ilyana Ilias, berkata kewujudan undang-undang khusus bagi e-Dagang adalah penting memandangkan transaksi dalam talian kini melibatkan pelbagai pihak termasuk pengguna, penjual, penyedia platform, institusi kewangan dan syarikat penghantaran.

Katanya, walaupun Malaysia sudah mempunyai Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta undang-undang berkaitan transaksi elektronik, perkembangan pesat teknologi dan model perniagaan digital menuntut perhatian lebih khusus bagi menambah baik beberapa aspek perundangan sedia ada. 

“Persoalan yang timbul bukan lagi sama ada pengguna dilindungi atau tidak, tetapi bagaimana tanggungjawab platform e-dagang sendiri dapat ditentukan dengan lebih jelas,” katanya kepada SAT.

Tambahnya, antara isu yang dikenal pasti termasuk urus niaga rentas sempadan, kewujudan akaun penjual yang digunakan untuk tujuan penipuan serta kesukaran pengguna mendapatkan keadilan apabila penjual berada di luar negara.

“Terdapat individu yang mendaftar sebagai penjual di platform e-Dagang menghilangkan diri selepas menerima pembayaran daripada pelanggan dan kemudiannya membuka akaun baharu bagi mengelak dikesan.

“Oleh sebab itu, antara cadangan yang diketengahkan ialah pelesenan terhadap platform e-Dagang. Melalui mekanisme itu, platform perlu menjalankan proses pengesahan terhadap penjual supaya identiti dan kewujudan perniagaan dapat disahkan terlebih dahulu” katanya lagi.

Selain perlindungan pengguna, Dr. Ibtisam Ilyana berpandangan RUU berkenaan juga perlu memberi perhatian kepada nasib PMKS yang bergantung penuh kepada platform digital untuk menjana pendapatan.

Tegasnya, aspek ketelusan berkaitan bayaran komisen, caj jualan dalam talian dan caj tambahan perlu diperjelaskan supaya peniaga dapat merancang kos operasi dan keuntungan dengan lebih baik.

“Kadang-kadang peniaga tidak mengetahui dengan jelas jumlah komisen atau caj yang dikenakan. Apabila kos bertambah, akhirnya peniaga kecil yang menanggung kesannya,” tambah beliau.

Beliau turut mencadangkan supaya terdapat garis panduan yang lebih jelas mengenai kadar komisen dan yuran yang dikenakan platform, khususnya terhadap usahawan mikro yang baru memulakan perniagaan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan pihak penyedia platform tidak seharusnya menyekat akaun peniaga tanpa alasan yang munasabah.

“Jika akaun digantung, perlu ada justifikasi yang jelas. Bagi peniaga yang bergantung sepenuhnya kepada platform digital, kehilangan akses walaupun untuk beberapa hari boleh menyebabkan kerugian yang besar,” ujarnya.

Irfan Norazam
/ Published posts: 1

Selagi masih ada cerita untuk disampaikan, selagi itu saya akan menulis