SHAH ALAM – “Selagi diberikan kudrat dan kekuatan daripada Allah, insya-Allah saya akan teruskan.”
Demikian luahan Haji Johari Ishak, 51, atau lebih mesra dikenali sebagai Hj Joe, yang telah menabur bakti selama 36 tahun sebagai penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Jawa, di sini.
Meskipun tugasnya sebagai ‘Pak Adi’ kurang mendapat perhatian masyarakat, bagi Hj Joe, tugas tersebut bukan sekadar sumber rezeki, malah satu tanggungjawab yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan masyarakat setempat.
Melibatkan diri sejak berusia 15 tahun, minat terhadap kerjaya tersebut berputik daripada ajakan seorang rakan baik yang sering mengajaknya membantu setiap kali berlaku kematian.
“Saya mula menceburi bidang penggalian kubur apabila arwah rakan saya, Wak Sudar, mengajak saya dan dua rakan lain membantunya menggali kubur.
“Sejak hari itu, hati saya semakin dekat dan saya mula menyukai pekerjaan tersebut,” kata bekas operator kilang itu.

Katanya, pelbagai pengalaman telah dilalui sepanjang bergelumang sebagai penggali kubur sejak tiga dekad lalu.
Antara yang paling tidak dapat dilupakan adalah ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pada tahun 2020.
“Dalam sehari, kami menerima tiga atau empat jenazah yang perlu dikebumikan. Sebelum pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengeluarkan arahan supaya semua jenazah COVID-19 dikebumikan di tanah perkuburan lain, tanah perkuburan ini menerima banyak jenazah ketika itu.
“Saya tidak pernah dijangkiti wabak tersebut ketika bertugas, tapi kadang-kadang saya rasa kepenatan ketika menguruskan jenazah ketika itu tapi ia sudah menjadi tanggungjawab saya.” katanya yang bersyukur tidak dijangkiti virus tersebut.
Walaupun mempunyai masalah kesihatan yang memerlukan pengambilan ubat dan rawatan, keadaan tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjalankan tugas.
“Dari segi kesihatan, alhamdulillah, keadaan itu tidak menjejaskan saya. Walaupun saya mempunyai masalah kesihatan yang memerlukan saya bergantung pada ubat dan rawatan, kudrat serta kekuatan yang diberikan oleh Allah membantu saya meneruskan pekerjaan ini.” katanya.
Sekian lama memikul tanggungjawab itu, bapa tunggal itu tidak pernah terfikir untuk bersara daripada pekerjaan tersebut.
Baginya, pekerjaan itu bukan sahaja menjadi sumber rezeki, malah peluang untuk melakukan amal kebajikan yang diharapkan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.
“Kita tidak tahu bila kita akan pergi. Sekurang-kurangnya, ada sedikit amalan untuk kita semua. Walaupun tidak seberapa, itu semua kuasa Tuhan dan itulah juga yang membuatkan saya bertahan hingga sekarang,” ujarnya.

Sepanjang bertugas sebagai penggali kubur, dia turut melalui beberapa peristiwa yang sukar dilupakan, termasuk pengalaman menguruskan pengebumian ahli keluarganya sendiri.
“Pengalaman paling sukar dilupakan ialah ketika menguruskan jenazah arwah ayah, abang dan adik sendiri. Perasaan sebak dan hiba ketika itu sukar digambarkan, malah meninggalkan kesan mendalam dalam diri saya.”
“Pengalaman lain yang tidak dapat saya lupakan adalah ketika saya terlihat satu jenazah yang keadaan fizikalnya masih elok. Walaupun sudah tidak bernyawa, rambut, jambang dan kukunya masih kelihatan tumbuh.
“Pernah juga berlaku halangan ketika proses penggalian kubur. Kita mungkin berasa pelik melihat keadaan begitu, namun itulah kuasa Allah yang tidak mustahil,” katanya.
Ujarnya lagi, setiap peristiwa yang dilalui sepanjang menjalankan tugas bukan sahaja memberikan pengajaran kepada dirinya, malah menjadi peringatan kepada masyarakat tentang kebesaran Allah SWT dan kepentingan mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian.
Dengan usia yang semakin senja, anak jati Padang Jawa itu bimbang akan kekurangan individu yang berminat untuk menjadi pelapis dalam bidang pengurusan jenazah dan penggalian kubur.
Beliau berharap agar generasi muda lebih terbuka untuk mempelajari ilmu pengurusan jenazah serta membantu dalam urusan pengebumian bagi memastikan tuntutan fardu kifayah terus dilaksanakan dalam masyarakat.
“Harapan saya, biarlah ada pelapis yang sanggup meneruskan tugas ini supaya urusan pengebumian dapat terus dilaksanakan dan khidmat ini tidak terhenti setakat saya sahaja.”
