112 views 5 mins 0 comments

Bermula dari dapur rumah, “Prosperbite” bukti keazaman mahasiswa

In Gaya Hidup, Rencana, Usahawan
April 24, 2026
Ammar ketika menyiapkan pesanan pelanggan dengan teliti

SHAH ALAM – Segalanya bermula dari dapur rumah. Minat terhadap dunia memasak yang pada mulanya hanya sekadar hobi, kini bertukar menjadi perniagaan.

Bau haruman masakan yang dahulunya hanya memenuhi ruang kecil di dapur rumah kini menjadi tempat tarikan pelanggan. Setiap menu yang dihasilkan bukan sekadar makanan tetapi lambang usaha dan keberanian seorang mahasiswa.

Bagi Ammar A’fif Md A’fifullah, 22, statusnya sebagai mahasiswa tidak menghalangnya melangkah jauh, malah dia mencabar diri untuk menjadi usahawan muda. 

Dengan hanya bermodalkan RM100, Ammar menggunakan apa sahaja peralatan yang ada di rumah tanpa bantuan kewangan keluarga. Dari dapur kecil itu lahirlah ‘Prosperbite’ yang diilhamkan dari burger keluaran sebuah jenama makanan terkenal. 

Menu itulah yang menjadi asas pertama ‘Prosperbite’ sebelum lahirnya menu kedua iaitu chicken tender dan sukiya bowl.

Antara pilihan menu yang disajikan

“Ayah saya suka makan Prosperity Burger, jadi itulah menu pertama saya. Bila ayah kata sedap, dari situ saya dapat keyakinan,” katanya mengimbas detik awal perjalanan Prosperbite.

“Saya ni jenis malu nak minta duit dengan parents, jadi memang dari awal semua saya usahakan sendiri. Saya tak nak terhutang budi dengan ayah,” tambahnya yang memilih untuk berdiri di atas kaki sendiri dan merasa jatuh bangun dalam perniagaan pertamanya.

Ammar A’fif Md A’fifullah

Segalanya dilakukan sendiri, daripada mengambil pesanan, memasak hingga menghantar makanan kepada pelanggan. Ketika menyambung pengajian diploma di Rembau, Ammar meneruskan perniagaannya secara dalam talian sebelum memberanikan diri membuka gerai di hadapan rumah. 

Kini, Ammar yang sedang menyambung pengajian sarjana muda di Shah Alam telah mengembangkan Prosperbite kepada dua cawangan di Seksyen 17 and Seksyen 7.  Bukan itu sahaja, dia turut mampu  menggaji empat orang pekerja selepas perniagaannya itu semakin mendapat tempat di hati pelanggan. 

Ammar bertungkus lumus menyiapkan pesanan

Tidak semuanya indah, Ammar juga tidak terlepas dari berdepan cabaran dan dugaan. Pada penghujung tahun lalu, berlaku kebakaran di rumahnya ketika pekerja sedang menyediakan bahan memasak.

“Masa tu down jugalah sebab kos kerugian pun agak tinggi tapi saya reda, benda dah jadi, saya kena teruskan juga,” katanya tenang dan bersyukur tiada kecederaan serius menimpa pekerjanya.

Kebakaran yang berlaku di rumah Ammar A’fif pada hujung tahun lepas

Di sebalik gelaran “bos”, Ammar turut berusaha mengimbangi statusnya sebagai pelajar dan usahawan. Bukan mudah, namun dia tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan, apatah lagi anak kepada 4 orang adik beradik ini mahu menjadi contoh kepada generasi muda.

“Tutup kedai pukul 1 pagi, lepas itu saya nak pergi beli barang mentah. Balik rumah pukul 3 pagi, esoknya kelas pukul 8 pagi. Memang penat, kadang-kadang sampai burnout,” katanya jujur.

Sosok seorang Ammar amat kuat dari segi mental dan fizikal, buktinya pada ketika dia sedang berkecimpung dalam dunia perniagaan, dia juga merupakan pelajar semester empat, peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Kewartawanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini.

Baginya, pelajaran tetap menjadi keutamaan, malah dia sanggup menutup kedainya hampir dua minggu semata-mata untuk memberi fokus kepada tugasan akademik. 

“Bisnes ni side quest sahaja, belajar tetapi nombor satu,” katanya merujuk kepada komitmennya sebagai pelajar kewartawanan yang masih mengejar impian untuk menjadi wartawan sukan.

Ammar berdiri megah di hadapan kereta pertamanya

Di sebalik segala usaha dan pengorbanan, titik peluh Ammar kini membuahkan hasil apabila dia mampu memiliki kereta dan motosikal hasil daripada usahanya sendiri.

Pada penghujung temu bual bersama Shah Alam Times, Ammar berkongsi satu nasihat berguna untuk anak muda yang mahu mencuba atau memulakan perniagaan.

“Jangan pernah takut untuk mencuba, tak ada benda pun mustahil. Just try. Gagal itu biasa, tapi bagaimana kita bangkit dari kegagalan itu luar biasa.” 

Ammar sedang menyiapkan kentang goreng

“Impossible is nothing,” katanya, merumuskan seluruh perjalanan hidupnya. Dari dapur rumah dengan modal RM100 hingga memiliki dua cawangan sendiri membuktikan kejayaan bermula kepada siapa yang berani mengambil risiko.

Syazwani Hasnan
/ Published posts: 1

Kebenaran bermula daripada keberanian untuk bertanya