301 views 2 mins 0 comments

MBSA Ambil Tindakan Tegas Kakitangan Cemar Imej Jabatan

In Berita
April 24, 2026
Tangkap layar memaparkan individu yang membuang puntung rokok dari kenderaan jabatan yang tular di media sosial

SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil serius dan telah merujuk kes pegawainya yang membuang puntung rokok dari dalam kenderaan jabatan itu kepada Bahagian Integriti MBSA untuk siasatan lanjut.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya, MBSA memaklumkan siasatan itu dijalankan bagi tindakan sewajarnya mengikut Kaedah-kaedah Pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (Kelakuan & Tatatertib) 2023.

“Larangan daripada menggunakan kenderaan jabatan untuk tujuan peribadi seperti perkara-perkara yang boleh menimbulkan tomahan dan mencemarkan imej majlis.

“Perbuatan ini disifatkan sebagai telah menggunakan kedudukan bagi faedah sendiri dan mencemarkan nama Majlis,” menurut infografik oleh Bahagian Integriti MBSA.

Infografik mengenai larangan penggunaan kenderaan jabatan bagi tujuan persendirian (Sumber: Bahagian Integriti MBSA)

Dalam pada itu, MBSA menegaskan tidak akan berkompromi terhadap salah laku dan komited untuk memastikan tahap integriti dan profesionalisme warga kerjanya sentiasa diperkukuh.

Tegasnya lagi, semua warga kerja perlu sentiasa mematuhi peraturan, menjaga imej perkhidmatan awam serta beretika semasa menjalankan tugas.

Memetik ucapan Timbalan Datuk Bandar MBSA, Safriah Md Adzhar, beliau mengingatkan supaya warga kerja MBSA sentiasa mengutamakan asas-asas integriti dalam setiap tugas dan amanah yang dilaksanakan.

“Saya mengingatkan agar kita sentiasa mengutamakan etika kerja, tatakelola, ketelusan dan tanggungjawab demi memastikan perkhidmatan MBSA berkualiti dan dipercayai masyarakat,” kata Safriah ketika Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) MBSA Bil. 2/2025 yang diterbitkan melalui infografik oleh Bahagian Integriti MBSA.

Safriah Md Adzhar ketika mengangkat sumpah Timbalan Datuk Bandar MBSA pada 4 Ogos 2025 (Gambar Fail: MBSA) 

Sejak kelmarin, tular di media sosial memaparkan seorang individu membuang puntung rokok keluar dari tingkap belakang sebuah kenderaan yang mempunyai logo dan nama MBSA ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Tindakan ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang mempersoalkan kredibiliti dan integriti pegawai yang tidak bertanggungjawab mencemarkan kebersihan dan menyalahgunakan harta jabatan.

Haikal Yuri
/ Published posts: 2

Kuasa tinta merentasi jagat samudera