SHAH ALAM – Seramai 32,630 graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima diploma dan ijazah mereka masing-masing bersempena Istiadat Konvokesyen ke-103 bermula 19 November hingga 9 Disember.
Sidang pertama Istiadat Konvokesyen disempurnakan oleh Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang merupakan Canselor UiTM.
Seramai 1,215 graduan pascasiswazah menerima ijazah mereka, manakala 15 graduan turut menerima Anugerah Graduan Terbaik sebagai pengiktirafan atas kecemerlangan akademik dan sahsiah.
Tuanku Canselor juga berkenan menyampaikan anugerah gelaran ‘Profesor Emeritus’ kepada tokoh akademik dan jurutera profesional, Ir. Sr. Dr. Suhaimi Abdul Talib pada sidang pertama istiadat tersebut.
Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun sebagai pensyarah di UiTM telah diiktiraf di atas kepakarannya dalam menerajui 30 projek konsultansi Outcome-Based Education (OBE) dan kualiti akademik di beberapa Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia.
Penganugerahan tersebut adalah pengiktirafan ke atas sumbangan beliau yang cemerlang dalam dunia pendidikan tinggi, industri, komuniti, dan kepimpinan telah dihargai.
Pada istiadat sama, Sultan Ibrahim turut berkenan melantik mantan Menteri Pendidikan Il dan Pengerusi Felda, Tan Sri Dato’ Sri Idris Jusoh sebagai Pro-Canselor UiTM.
