575 views 44 secs 0 comments

Nik Nisrina, Halimah Tekad Bawa Nama UiTM Ke Pentas Asean University Games

In Kampus, Sukan
November 22, 2025
Halimah (kiri) dan Nik (kanan) yakin penyertaan dalam beberapa kejohanan tempatan dapat meningkatkan prestasi serta peluang mereka mewakili negara di AUG tahun hadapan.

SHAH ALAM – Dua atlet taekwondo Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nik Nisrina Nasrullah dan Halimah As-Sa’adiyah bertekad untuk kekal fokus menjelang pemilihan akhir ke temasya sukan Asean University Games (AUG) yang akan berlangsung tahun hadapan.

Menurut Halimah, dia dan Nik Nisrina perlu bekerja lebih keras dalam mempersiapkan diri menuju temasya dwi tahunan itu.

“Menjelang AUG nanti, kami akan mempertingkatkan lagi kadar latihan dan akan memberikan fokus yang sepenuhnya.

“Ini kerana kejohanan AUG ini melibatkan atlet dari luar negara, jadi ia akan menjadi satu cabaran besar buat kami,” ujarnya.

Untuk rekod, Halimah berjaya menjadikan tahun 2025 antara tahun cemerlangnya selepas berjaya memenangi pingat emas dalam Kejohanan Antarabangsa Interclub, menerusi dua kategori iaitu kategori olimpik bawah 49 kilogram (kg) dan terbuka wanita bawah 49kg.

Sementara itu, Nik Nisrina berhasrat untuk membuktikan kemampuannya mewakili negara di pentas AUG dengan menyertai kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan IPT (SUKIPT) yanga akan berlangsung tidak lama lagi.

“Persediaan menjelang tahun penuh kejohanan sukan 2026 akan bermula awal, jadi saya akan perbanyakkan lagi persiapan supaya sentiasa bersedia.

“Saya juga akan cuba mengimbangkan antara pelajaran dan latihan. Yang paling penting, ialah persiapan mental saya,” kata pelajar Fakulti Undang-Undang UiTM itu.

Nik Nisrina percaya, tahun hadapan akan menjadi peluang terbaik buatnya untuk mencapai kejayaan yang lebih besar dalam sukan taekwondo.

Harith Hisyam
/ Published posts: 0

Setiap tulisan adalah saksi