Shah Alam – Warga akademik Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) diseru menilai semula pemahaman mereka terhadap asas bidang komunikasi dan media bagi mendepani era digital yang semakin mencabar.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin menegaskan perkembangan teknologi masa kini berpotensi mengubah nilai serta asas bidang ini.
Beliau berkata, evolusi pendidikan pada masa kini khususnya dalam bidang ini tidak seharusnya tertumpu kepada kemahiran mengadaptasi perkembangan teknologi semata-mata.
“Teknologi akan sentiasa berubah dari semasa ke semasa, namun silibus kita perlu terus kekal dengan asas yang kukuh.
“Cabaran utama kita hadapi sekarang adalah bagaimana kita menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) ke dalam bidang kita secara berkesan.
“Bidang ini yang seringkali mencetuskan kekeliruan banyak pihak dalam memahami fungsi sebenar media termasuk dalam kalangan penggubal dasar dan kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Naib Canselor Bersama Warga FKPM dan Perasmian ‘Alumni Wall of Fame’ FKPM di UiTM Shah Alam, di sini, pada Jumaat lalu.
Turut hadir Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Hj. Azizi Jantan; Dekan FKPM, Profesor Dr. Abd Rasid Abd Rahman; dan Pengerusi Persatuan Alumni Komunikasi Massa (MassComm) UiTM, Basree Rakijan.
Pada majlis tersebut, 15 alumni diraikan atas sumbangan dan peranan signifikan yang dimainkan kepada fakulti, masyarakat dan negara.
Antara yang menerima pengiktirafan ialah bekas Pengarang Berita Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Manja Ismail; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The News Straits Time Press (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid; dan Pengarang Pengurusan NSTP, Datuk Nuraina Abdul Samad.
Turut menerima pengiktirafan ialah Professor Dato’ Dr. Ahmad Murad Mohd Noor Merican, Zohara Gany Mhd Bathusha, Datuk Norhyati Mohd Ismail, Allahyarham Dato’ Bukhari Che Muda, Nik Ramzi Nik Hassan, Hasri Hasan, Prof. Dato’ Mohd Hamdan Adnan, Datuk Abdul Razak Dali, Datin Dr. Shameem Abd Jalil, Azizul Kallahan, Mussadikh Meah Musa Meah, dan Shukri Rifaie.
Mengulas lanjut, Dr. Shahrin menegaskan bahawa penyusunan semula hala tuju bidang ini bukan hanya penting kepada graduan dan institusi semata-mata, malahan kepada negara.
“Harapan saya kepada fakulti ini adalah untuk kita benar-benar memastikan pelan akademik kita relevan dengan keperluan industri,” ujarnya lagi.
