SHAH ALAM – Dalam dunia serba moden yang semakin dikuasai platform digital, kebimbangan terhadap tahap penghargaan generasi muda terhadap seni warisan tempatan semakin kerap diperkatakan.
Atas kesedaran itu, pentas Sunsuria Forum Mall, Setia Alam menjadi tumpuan sempena Majlis Kebangkitan Warisan Persembahan Kebudayaan Musikal Warisan Nusantara pada 1 Mei lalu.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Pusaka Nusantara Sdn. Bhd dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta hadir merasmikan acara ialah Datuk Shaharuddin Abu Sohot, Ketua Setiausaha MOTAC.
Tirai persembahan dibuka dengan persembahan kompang dan aksi silat yang berjaya menarik perhatian hadirin.
Menariknya, barisan peserta yang terlibat datang daripada pelbagai peringkat umur. Seorang kanak-kanak berusia lima tahun turut diberi peluang mempersembahkan paluan kompang bersama peserta lain yang lebih dewasa.


Menurut Muhammad Rayyan, 16, salah seorang peserta daripada Kumpulan Kompang Anak Seni Cheras, penglibatan generasi muda penting bagi memastikan warisan seni terus hidup.
“Untuk anak muda hari ini, janganlah asyik main telefon saja. Kena tahu juga hal warisan supaya tak hilang,” katanya kepada Shah Alam Times.
Selain persembahan muzik tradisional, pentas itu turut menampilkan peragaan busana moden yang menyuntik elemen batik Nusantara.
Batik Songket Keturah menjadi penaja utama bagi pakaian yang digayakan oleh barisan model.
Busana yang diperagakan bukan sekadar mengekalkan identiti batik tradisional, malah diberikan nafas baharu melalui rekaan dan gaya yang lebih segar, selari dengan citarasa generasi masa kini.

Menjelang penghujung acara, tirai persembahan dilabuhkan dengan tarian Ulek Mayang yang penuh gemersik gemalai, diiringi persembahan nyanyian dan alunan muzik kugiran yang rancak.


Dalam sidang media selepas acara, Datuk Shaharuddin memaklumkan bahawa pihak MOTAC mempunyai jabatan khusus yang bertanggungjawab terhadap pemeliharaan warisan dan budaya tempatan.
“Saya rasa majlis seperti ini sangat berimpak besar dalam memperkukuh jati diri generasi hari ini terhadap perkara warisan seperti ini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa gembira melihat sambutan yang memberangsangkan, sekali gus membuktikan generasi hari ini masih mempunyai kesedaran dan minta terhadap nilai estetika warisan nusantara.
