Shah Alam- Majlis perkahwinan tertutup atau juga dikenali sebagai ‘intimate wedding’ dilihat semakin menjadi pilihan kebanyakan bakal pasangan pengantin berikutan kos penganjurannya yang dikatakan jauh lebih rendah berbanding majlis konvensional.
Tinjauan SAT mendapati rata-rata golongan muda memilih pendekatan tersebut bagi mengelak menanggung beban kewangan selepas perkahwinan, selain mahu mengelak daripada terjerat dengan hutang.
Bagi Nur Najwa Roslan, 24, yang sememangnya lahir dalam lingkungan keluarga yang mengamalkan perkahwinan tertutup melihat trend tersebut sebagai kelebihan dan penjimatan jangka panjang kepada pasangan dalam menguruskan perbelanjaan selepas kahwin.
“Semua saudara-mara saya berkahwin mengikut cara intimate wedding. Bilangan jemputan kebiasaannya 100 hingga 150 orang sahaja bagi kedua-dua belah pengantin lelaki dan perempuan. Kami juga membuka satu khemah sahaja memandangkan majlis dibuat di pekarangan rumah sendiri,” katanya.
Tambahnya lagi, bagi penyediaan makanan, mereka biasanya akan mengorbankan seekor kambing untuk hidangan kambing golek.
“Intimate wedding memberi peluang kepada pengantin untuk melebihkan bajet kepada perkara lain yang lebih berbaloi seperti makanan, memandangkan mereka telah jimat banyak bagi jemputan tetamu,” jelasnya lagi.
Pandangan sama turut dikongsi Muhammad Aiman Tajuddin, 24, yang melihat perkahwinan berkonsep tertutup sebagai pilihan yang dapat menjimatkan kos penganjuran majlis raja sehari.
“Jika kita bandingkan anggaran kasar antara kos perkahwinan konvensional dan intimate wedding, sudah tentu intimate wedding menelan belanja yang lebih minimum dengan perbezaan sekitar RM20,000. Pasangan muda perlu lebih bijak berbelanja demi mengelakkan masalah di kemudian hari,” ujarnya.
Islam sendiri mengesyorkan hebahan pernikahan secara terbuka kepada saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat handai bagi menghindari fitnah di samping mengeratkan silaturahim.
Walau bagaimanapun, jika dengan majlis besar-besaran bakal mendatangkan mudarat kepada pasangan dalam menjalani kehidupan selepas berkahwin, maka intimate wedding merupakan jalan terbaik selain mengelakkan isu pembaziran.
Baru-baru ini, Profesor Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad mendedahkan kos perkahwinan di Malaysia sebagai antara yang tertinggi dalam negara ASEAN.
Jelasnya, perkara tersebut berpunca daripada peningkatan kadar inflasi, kos dewan dan katering, serta jangkaan masyarakat sehingga membebankan pasangan muda yang terpaksa menyediakan perbelanjaan di antara RM50,000 hingga RM200,000 untuk sebuah majlis.

