571 views 2 mins 0 comments

Kompleks PKNS Diisytihar Komuniti Bebas Plastik Sekali Guna

In Berita, Komuniti
April 27, 2025
MBSA semakin hampiri sasaran bandar bebas karbon 2030

SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus menunjukkan komitmen tinggi menjadi bandar perintis bebas plastik sekali guna di Malaysia apabila mengumumkan pemilihan kompleks PKNS sebagai komuniti baharu pelaksanaan kempen tersebut. 

Menurut Datuk Bandar MBSA,  Dato’ Mohd Fauzi Haji Mohd Yatim, pemilihan bangunan ikonik itu menjadi platform kepada pihaknya untuk mendidik dan memberi pendedahan kepada peniaga serta pihak pengurusan kompleks beli-belah itu tentang pelan tindakan kawalan penggunaan plastik sekali guna di premis tersebut.

“MBSA bersama rakan strategik PKNS akan mewujudkan pasukan gerak kerja komuniti bebas plastik sekali guna yang akan bertindak sebagai medium interaksi antara kedua-dua belah pihak,” katanya.

Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Setiausaha Pengurusan MBSA, Mohd Azhar Mohd Shahir pada Sesi Pemakluman Bangunan Kompleks PKNS Sebagai Komuniti Bebas Plastik Sekali Guna Shah Alam 2025 pada Rabu.

Hadir sama Pengurus Pusat Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall, Syahril Mohd Rashid, Ahli Majlis MBSA, Mohd Shakir Ameer Mohaideen dan Pengarah Jabatan Kebersihan Awam dan Kelestarian Sisa MBSA, Mohd Azmi Amer Khan.

MBSA telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Green Technology and Climate Change (MTGC) sebagai rakan strategik untuk melaksanakan komuniti bebas plastik sekali guna di Shah Alam bagi memasntikan kemapanan dan kelestarian alam di bandaraya tersebut terus dipertahankan.

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata, penggunaan plastik sekali guna yang tidak terkawal boleh memberi kesan buruk kepada alam sekitar.

“Penggunaan plastik sekali guna ini hanya akan menjadi lambakan dan meningkatkan sisa sampah plastik serta merosakkan alam sekitar sekiranya hanya digunakan sekali dan terus dibuang,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, MBSA turut melancarkan Gerobok Beg Guna Semula (GBGS) sebagai usaha menggalakkan pengunjung menyumbang beg guna semula bagi kegunaan di premis tersebut.

Selain Kompleks PKNS, inisiatif sama turut dilaksanakan di Pasar Seksyen 6.

Hanisa Latiff
/ Published posts: 2

Menyajikan Kebenaran Yang Belum Diterbitkan