1280 views 2 mins 0 comments

Program Perhubungan Awam UiTM Raih Pengiktirafan Peringkat Antarabangsa

In Berita, Kampus
July 08, 2025
Pengiktirafan Diamond Award mengukuhkan reputasi FKPM UiTM sebagai institusi akademik yang menawarkan program perhubungan awam berkualiti di negara ini dan di peringkat antarabangsa. (Foto Ihsan Melina Mahpuz)

KUALA LUMPUR – Program Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam terus cemerlang mengukir nama di peringkat antarabangsa apabila berjaya memenangi Diamond Award dalam kategori Excellence in PR Institution di ASEAN PR Excellence Award edisi kelima.

Pengiktirafan berprestij itu disampaikan dalam satu majlis yang berlangsung di ibu negara semalam bersempena dengan Persidangan Perhubungan Awam Antarabangsa Kuala Lumpur (Kuala Lumpur International PR Conference). 

Hadir menyampaikan anugerah tersebut ialah Presiden ASEAN PR Network merangkap Pengarah dan Pengasas London School of PR (LSPR) Indonesia, Dr Prita Kemal Gani, serta Timbalan Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi dan Digital, Nik Kamaruzaman Nik Husin.

Anugerah tersebut diterima Koordinator Kursus Perhubungan Awam FKPM UiTM, Melina Mahpuz, bagi pihak fakulti.

Menurut kenyataan rasmi UiTM, anugerah ini merupakan penghargaan terhadap institusi dan individu yang telah memberikan sumbangan besar dalam memacu pembangunan industri perhubungan awam di rantau ASEAN.

Ia bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak GCC-ASEAN 2025, sekali gus memperkukuh kedudukan negara dalam bidang komunikasi strategik serantau.

“Pengiktirafan ini jelas mencerminkan keberkesanan sistem pembelajaran dan pengajaran FKPM UiTM yang bersifat inklusif dan mampan, selari dengan keperluan serta realiti industri semasa.

“FKPM bukan sahaja mampu melahirkan graduan yang berpengetahuan luas semata-mata, malah turut membina keupayaan mereka untuk beradaptasi dengan cabaran industri komunikasi yang kian mencabar dan berkembang pesat,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, FKPM yang lebih dikenali sebagai MassComm, berjaya mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai fakulti nombor satu di Malaysia, selain melonjak ke tangga ke-7 dalam bidang Perhubungan Awam di Asia berdasarkan penarafan badan akademik Edurank.

Kejayaan demi kejayaan ini jelas membuktikan komitmen fakulti dalam membentuk sebuah ekosistem pendidikan yang progresif dan sentiasa mampu menyesuaikan diri dengan kehendak industri. 

“Dengan mengambil kira kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan komunikasi digital, FKPM bertekad untuk terus menerajui landskap perhubungan awam bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa,” kata kenyataan itu lagi.

Syafi Fauzan
/ Published posts: 7

Berita itu nyawa, fakta itu senjata. Tugasku untuk memastikan masyarakat tidak buta.