298 views 6 mins 1 comments

MPP UiTM gesa semak semula kadar bayaran SKP

In Berita, Kampus
July 21, 2026
Tidak pernah ditambah baik sejak lebih 20 tahun walaupun telah beberapa kali dicadangkan kepada pengurusan atasan universiti. - SAT

SHAH ALAM – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM menggesa universiti tersebut menyemak semula kadar bayaran elaun Skim Khidmat Pelajar (SKP) yang sudah lebih 20 tahun tidak disemak. 

Penolong Naib Yang Dipertua MPP UiTM, Muhammad Zuhair Hazman Zohari berkata, kali terakhir skim tersebut disemak ialah pada 2006 dengan kadar bayaran ditetapkan sekitar RM4 sejam dan kekal sehingga sekarang.  

“Kadar bayaran tersebut memang sudah tidak relevan dan lapuk (terlalu lama).

“Hampir dua dekad selepas pelaksanaan Skim Khidmat Pelajar ini, kita masih melihat RM4 sejam itu gagal berfungsi seperti matlamat asalnya (membantu pelajar menambah pendapatan),” katanya.

Menurutnya lagi, cadangan menaikkan elaun tersebut pernah dibangkitkan di Parlimen Mahasiswa pada 2023 dan yang terbaru, pada April tahun ini. 

“Pada ketika itu, mereka (MPP sebelum ini) mencadangkan supaya SKP ini dinaikkan kepada RM7, dan usul tersebut ditolak atas alasan terlalu tinggi dan tidak munasabah. 

“Dalam Parlimen (Mahasiswa) kali ini, kita berjaya meyakinkan keseluruhan Dewan untuk menyokong cadangan kenaikan elaun tersebut. 

“Kita tidak boleh banding ekonomi zaman dahulu dengan sekarang, tetapi kita kena lihat kepada keperluan dan juga bebanan skop kerja yang ditawarkan. 

“Ada keperluan untuk menambah elaun mengikut kesesuaian kos sara hidup hari ini dan saya setuju (kadar) bayaran SKP (ketika ini) tidak mencukupi,” jelasnya lagi.

Kehadiran petugas SKP (berbaju putih) ketika Istiadat Konvokesyen UiTM memberi impak besar kepada penganjuran dan kelancaran majlis yang dihadiri ribuan tetamu itu. Gambar kecil: Muhammad Zuhair Hazman Zohari.  – SAT

Polemik bayaran SKP kembali mendapat perhatian banyak pihak, khususnya mahasiswa, berikutan pengenalan program MySISWA@Job on Campus (MySISWA@JoC) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Jun lalu yang menawarkan kadar bayaran lebih kompetitif sebanyak RM6 sejam.

Program tersebut bertujuan untuk membantu mahasiswa di 20 universiti awam menjana pendapatan tambahan dengan bekerja sambilan di dalam kampus tanpa menjejaskan fokus pengajian mereka.

Menariknya, skop tugasan yang ditawarkan JoC dikatakan hampir sama dengan SKP meliputi bidang pengurusan pentadbiran dan operasi, perkhidmatan, teknikal, pengurusan projek serta keusahawanan, sekali gus menimbulkan persoalan tentang perbezaan kadar bayaran kedua-dua skim. 

INFOGRAFIK: Perbandingan ringkas pelaksanaan SKP UITM dan inisiatif terbaharu KPT iaitu MySISWA@JOC. – SAT

Sementara itu, majoriti mahasiswa yang pernah bertugas di bawah skim tersebut menyambut baik cadangan semakan semula kadar bayaran SKP dan menyifatkannya sebagai wajar serta tepat pada masanya.

Menurut Syuhada Rahman, 23,  kadar semasa yang dibayar ketika ini sudah tidak sesuai dan tidak selari dengan matlamat pelaksanaannya. 

“Bagi saya, kadar tersebut sudah tidak relevan kerana telah ditetapkan sejak kira-kira 20 tahun lalu, sedangkan tujuan skim ini adalah untuk membantu pelajar memperoleh pendapatan. 

“Namun, kadar RM4 sejam sudah tidak sesuai dengan keadaan ekonomi semasa dan beban kerja.

“Sekiranya kadar asal RM4 dinaikkan kepada RM5, peningkatan sebanyak RM1 sahaja masih tidak berbaloi, kadar yang lebih sesuai mungkin sekitar RM7 hingga RM8 sejam,” katanya yang pernah berkhidmat di bawah skim tersebut selama tiga semester.

Seorang lagi mahasiswa, Nasihin Hud, 24, berkata bahawa upah yang diterima ketika ini tidak setimpal dengan tahap kepenatan dan beban tugas yang dijalankan, terutamanya bagi mereka yang bertugas semasa acara besar universiti seperti istiadat konvokesyen.

“Sebelum hari istiadat konvokesyen berlangsung, kami perlu menyediakan jubah dan hud untuk urusan penyerahan jubah semasa konvokesyen. Selepas majlis selesai, mereka masih perlu menguruskan jubah, menghantarnya ke dobi dan menyusunnya semula untuk kegunaan pada masa akan datang.

“Oleh itu, tahap kepenatan dan beban kerja kami adalah antara yang paling tinggi dan paling ekstrem. Kami sering mengangkat barang berat dan melakukan pelbagai kerja yang memerlukan banyak tenaga sepanjang bertugas, jadi patut elaun dinaikkan,” ujarnya.

Pandang tersebut turut disokong Tun Nadia, 23, petugas SKP kawalan keselamatan yang kerap terdedah dengan cabaran cuaca tidak menentu ketika menyantuni waris graduan yang hadir ke istiadat konvokesyen.

“Bagi saya, (kadar bayaran) kurang setimpal kerana tugas ini memerlukan kami berada di luar bangunan dan bertugas dalam cuaca panas untuk tempoh yang lama. 

“Dalam masa yang sama, kami perlu menguruskan ribuan tetamu dengan pelbagai ragam dan kerenah yang begitu menguji tahap kesabaran serta emosi.  

“Walaupun kebanyakan pelajar menyertai SKP untuk menimba pengalaman, namun UiTM perlu tetapkan satu kadar yang berbaloi dengan beban kerja yang diberi,” tegasnya.

Bagi bekas pelajar dan petugas SKP, Nur Nabila Asyikin, 30, elaun yang ditawarkan perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa serta kos sara hidup yang tinggi.

“Untuk zaman sekarang ini, RM4 tu agak rendah jugalah sebab pelajar memerlukan duit untuk menampung pelbagai perbelanjaan.

“Di sini, harga makanan paling rendah pun mungkin RM10. Pelajar-pelajar pun dah ada kereta, motosikal, jadi ada komitmen yang perlu dilunaskan,” katanya yang berharap satu penyelesaian tuntas dapat diambil oleh pihak berwajib bagi membela kebajikan pelajar yang menyertai skim tersebut.

, , , , , , , , , , , , , ,
Sakinah Sofli
/ Published posts: 4

Answers are given, truth is uncovered.

One comment on “MPP UiTM gesa semak semula kadar bayaran SKP
    Alana

    peliknya, dah lama tak revise, dah 20 tahun masih rm4, dekat luar dah naik rate, kat uitm tak naik-naik.

Leave a Reply