51 views 7 mins 0 comments

Tokoh Pekerja OKU Bukti Peluang Sama Rata Mampu Direalisasi

In Berita, Gaya Hidup, Rencana
May 09, 2026
Muhammad Adib Ibrahim, penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara (OKU) 2026

SHAH ALAM – Kehilangan keupayaan mendengar pada usia muda tidak sama sekali memutuskan harapan Muhammad Adib Ibrahim, 36, untuk berdiri sebaris dengan individu normal.

Kekentalan itu membolehkan dia  dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara kategori Orang Kurang Upaya (OKU) 2026, sempena sambutan Hari Pekerja, baru-baru ini.

Ketika ditemu bual Shah Alam Times, Muhammad Adib membuktikan bahawa keterbatasan fizikal bukan penghalang, sebaliknya, kekuatan mental, rohani dan keazaman adalah upaya sebenar untuk menghapuskan stigma lapuk masyarakat terhadap golongan OKU.

Anak kelahiran Tanjung Malim, Perak itu mendedahkan masalah pendengarannya berpunca daripada faktor genetik yang turut diwarisi oleh lima daripada enam ahli keluarganya. Keadaan itu mula memberi kesan kepada kehidupannya ketika berada pada fasa akhir pengajian diploma.

Muhammad Adib kemudian menjalani pemeriksaan kesihatan dan mula memakai alat bantu pendengaran ketika menyambung pengajian di peringkat ijazah. Namun, pada awalnya beliau mengakui berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri. 

“Pada awalnya memang susah untuk saya menyesuaikan diri. Saya pernah pakai sebelah sahaja alat bantu pendengaran sebab saya tak nak orang nampak. Bila saya pakai satu sahaja, telinga yang tidak dibantu menjadi tidak aktif dan akhirnya pendengaran sebelah kanan saya semakin merosot,” katanya.

Dalam tempoh penyesuaian dengan penggunaan alat bantu pendengaran, beliau berdaftar sebagai OKU Pendengaran dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

Muhammad Adib ketika ditemu bual

Muhammad Adib menjelaskan cabaran utamanya bukan pekak sepenuhnya, tetapi kesukaran untuk mendengar butiran perkataan dengan tepat, yang acap kali menjurus kepada salah tafsir dan salah faham.

“Contohnya, bila orang sebut ‘saya suka makan nasi lemak’, butir ‘nasi’ itu hilang. Saya hanya dengar ‘saya suka makan … lemak’. Jadi saya terpaksa meneka dan bila salah, orang ketawa tanpa faham keadaan saya,” kongsinya.

Kebergantungan kepada bacaan gerak bibir turut menjadi cabaran besar, terutama ketika pandemik COVID-19 apabila semua orang memakai pelitup muka, yang menyukarkan komunikasi. 

Mengimbas kembali titik mula kerjayanya sebagai eksekutif pemasaran dalam bidang korporat pada akhir 2013, Muhammad Adib mengakui tekanan emosi yang dialaminya amat berat sehingga menyebabkan dirinya berasa trauma untuk berhadapan dengan pelanggan.

“Ada sampai satu tahap bila telefon berdering, saya takut nak angkat. Saya takut nak berkomunikasi dan minta rakan sekerja tolong jawabkan,” katanya.

Namun, dia mula bangkit apabila bertekad untuk membuktikan kemampuan dirinya.

“Saya tanya diri sendiri, sampai bila nak macam ini? Saya nak buktikan yang saya boleh buat seperti orang lain,” ujarnya.

Muhammad Adib bercerita tentang fasa kebangkitan dari rasa rendah diri dan kurang semangat ketika fasa awal dalam kerjaya

Dengan semangat yang membara, dia mencipta kejayaan selama lima tahun di Lembaga Getah Malaysia (LGM) sebelum menyambung kerjaya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sehingga kini. 

Di sebalik perjalanan hidupnya, Muhammad Adib turut memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa kepada seorang cahaya mata. Sokongan keluarga menjadi antara  kekuatan utama dalam meneruskan kehidupan dan kerjaya. 

Dia tidak pernah melupakan isteri tercintanya yang disifatkan sebagai “telinga kedua” serta tulang belakang keluarga sepanjang 11 tahun perkahwinan mereka. 

Biarpun berstatus OKU, Muhammad Adib terus melakar kejayaan apabila menyambung pengajian Sarjana Pentadbiran Pendidikan (MBA) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur, dengan sokongan biasiswa dan Cuti Belajar Bergaji Penuh.

“Bila tengok keputusan diploma dan ijazah sarjana muda dulu, saya tak pernah dapat anugerah dekan. Tetapi apabila keputusan Semester 1 keluar dan berjaya mendapat PNGK 4.00, saya agak terkejut sampai tidak boleh tidur malam,” katanya. 

Tambahnya, kejayaan itu banyak dipengaruhi oleh pengalaman kerja selepas lebih 10 tahun meninggalkan dunia akademik.

“Tapi Alhamdulillah, pengalaman kerja banyak bantu saya praktikkan semula dalam pengajian,” jelasnya.

Selain akademik, Muhammad Adib turut memegang jawatan Presiden, Postgraduate Students Society of Azman Hashim International Business School (PGSS AHIBS) dan Exco Jabatan Kerohanian dan Kebudayaan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UTM.

Muhammad Adib kini melanjutkan pengajian peringkat ijazah Sarjana di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur

Dalam kerjaya profesional, dia turut menerima pengiktirafan daripada Malaysian Institute of Human Resources Management (MIHRM) pada 2025 apabila merangkul Young HR Talent Award dan Resilient Journey Award

Dia menyifatkan pencapaian itu sebagai rezeki yang tidak disangka. Pencalonannya bermula secara kebetulan ketika mewakili jabatannya dalam satu pembentangan.

“Apabila penganjur melihat pencapaian dalam slaid pembentangan saya, mereka terkejut melihat usia saya ketika itu baru 35 tahun dan terus meminta saya menghantar permohonan,” katanya.

Muhammad Adib, turut menerima Resilient Journey Award sebagai pengiktirafan terhadap daya tahannya sebagai individu OKU dalam mendepani cabaran. 

Selain itu, beliau juga pernah merangkul tiga Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta Anugerah OKU Menyerlah (Staf Pentadbiran) UiTM 2024.

Muhammad Adib Ibrahim menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara (OKU) 2026 sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan (2026) di Unifi Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Mei lalu (Sumber: Facebook Kementerian Pendidikan Tinggi)

Di luar dunia kerjaya dan akademik, Muhammad Adib aktif sebagai Timbalan Presiden Bidara FC, sebuah pasukan bola sepak komuniti di kawasan kejiranannya.

Berinspirasi daripada istilah bola sepak ‘Man of the Match’ (MOTM), beliau memperkenalkan program “Malu Or Tapi Mahu” untuk mengangkat individu yang kurang yakin diri, berasa tersisih atau belum menemui pasukan yang serasi agar berani menonjolkan bakat di atas padang. 

Usaha itu turut mencerminkan falsafah beliau dalam mengangkat darjat diri, yang bukan hanya untuk diri sendiri tetapi turut dikongsikan kepada komuniti setempat.  

Dari kiri: Muhammad Adib Ibrahim (penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara (OKU) 2026) dan Muhammad Haikal Yuri Azhar (Ketua Pengarang Shah Alam Times)

Mengakhiri sesi temu bual, dia menyeru masyarakat agar memupuk empati terhadap golongan OKU di tempat kerja dan dalam kehidupan seharian. 

Dia turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak berada dalam fasa penafian apabila anak didiagnosis dengan ketidakupayaan, sebaliknya segera mendapatkan sokongan dan bantuan pakar seawal mungkin. 

Muhammad Adib kemudian berkongsi pesanan yang masih diingatinya daripada mantan ketuanya.

“Sekurus-kurus ikan pasti ada isinya dan segemuk-gemuk ikan pasti ada tulangnya. Maksudnya, setiap orang  mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jadi sentiasa ikhlas dalam apa jua yang kita buat,” luahnya dengan wajah penuh semangat. 

Haikal Yuri
/ Published posts: 4

Kuasa tinta merentasi jagat samudera

Twitter
Facebook
Youtube
Linkedin
Instagram