SHAH ALAM – Menggalas tanggungjawab sebagai pensyarah sepenuh masa bukan penghalang buat tiga graduan Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk menamatkan pengajian dalam bidang Komunikasi dan Pengajian Media dengan jayanya.
Ts. Dr. Fakrulnizam Jafri pernah berkhidmat dalam bidang penyiaran bersama Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) sebelum menyambung pengajian peringkat sarjana dan seterusnya berkhidmat sebagai pensyarah di UiTM.
Menurut Pensyarah Kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Kampus Rembau, Negeri Sembilan ini, keputusan untuk tidak mengambil cuti belajar dibuat kerana mahu mengekalkan kestabilan kerjaya sambil meneruskan pengajian secara separuh masa.
“Saya bekerja sambil belajar dan memang mengambil sedikit masa untuk menghabiskan pengajian, tetapi saya mahu terus bekerja,” katanya kepada Shah Alam Times.
Baginya, cabaran utama sepanjang pengajian adalah membahagikan masa antara tugas sebagai pensyarah dan komitmen akademik, namun sokongan keluarga menjadi sumber kekuatan terbesar untuk terus bertahan sehingga tamat pengajian.
“PhD ini bukan soal usia, tetapi siapa yang mampu bertarung hingga ke penghujung pengajian,” katanya ketika ditemu bual pada Sidang Kedua Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104, hari ini.
Sementara itu, Dr. Shafezah Abdul Wahab yang merupakan Pensyarah Kanan UiTM Kampus Alor Gajah menyifatkan bekerja sambil mengajar mendidik dirinya mengurus masa dengan baik.
“Ada beberapa kekangan dari segi pengurusan masa, tetapi saya cuba susun jadual supaya dapat menyeimbangkan kerja dan juga pengajian,” ulasnya.
Tambahnya, dia turut menerima sokongan moral bukan sahaja dari ahli keluarga, tetapi juga dari pelajar dan rakan sekerja.
Dr. Shafezah turut menitipkan pesanan kepada individu yang ingin menyambung pengajian supaya sentiasa bermula dengan niat yang betul, disusuli usaha, doa dan tawakal.
Bagi Dr. Muhammad Nabihan Abu Bakar, minat mendalam terhadap dunia akademik menjadi sebab utamanya memilih untuk terus bekerja sambil menyambung pengajian sehingga ke peringkat PhD.
Pensyarah Kanan di UiTM Kampus Rembau itu berkata, keputusan untuk meneruskan pengajian secara separuh masa dibuat kerana ingin terus menyumbang dalam bidang pendidikan.
“Saya sayangkan akademik dan mahu melahirkan lebih ramai ilmuwan dalam bidang pendidikan,” katanya.
Menurut Dr. Muhammad Nabihan, isteri, keluarga dan pelajar menjadi sumber kekuatan utama sepanjang menyiapkan tesis dan mengimbangi tanggungjawab pensyarah serta pelajar PhD pada masa yang sama.
Nasihatnya kepada mereka yang sedang melalui perjalanan PhD adalah supaya tidak mudah berputus asa walaupun berdepan tekanan dan keletihan.
“Kalau penat, berhenti sekejap dan berehat, tetapi jangan berhenti terus daripada meneruskan misi untuk menamatkan PhD,” katanya.
