42 views 3 mins 0 comments

El Nino: Kawasan Gambut Jadi Tumpuan Pemantauan JBPM

In Berita, Komuniti
July 16, 2026
Ekosistem hutan paya gambut terdedah kepada ancaman kebakaran ketika fenomena El Nino (Gambar janaan AI)

SHAH ALAM – Fenomena cuaca kering yang lebih lama atau lebih dikenali sebagai El Nino diramalkan berterusan sehingga awal tahun 2027 dan berpotensi meningkatkan risiko pembakaran terbuka di beberapa kawasan dalam negara.

Berdasarkan laporan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, fenomena ini dijangka mencapai peringkat paling tinggi menjelang penghujung tahun ini, sekali gus mengurangkan taburan hujan dan meningkatkan pembakaran terbuka serta jerebu.

Timbalan Penguasa Bomba II, Mohamad Hamdan Sudin berkata, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengambil langkah awal dalam mengenal pasti kawasan yang berisiko secara berkala sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya kebakaran, khususnya di kawasan hutan paya gambut.

Timbalan Penguasa Bomba II, Mohamad Hamdan Sudin menjelaskan langkah kesiapsiagaan kebakaran bagi menghadapi cuaca panas akibat El Nino.

“Di Shah Alam, antara kawasan yang dikenal pasti ialah Sungai Kandis dan Kampung Jawa kerana terdapat kawasan hutan gambut,” katanya semasa ditemu bual selepas sesi Podcast Sembang Seksyen terbitan Shah Alam Times.

Menurut beliau, walaupun kawasan hutan gambut di Shah Alam tidak seluas kawasan lain seperti di Kuala Langat, ia tetap diberi perhatian kerana kebakaran di kawasan gambut lebih sukar dikawal, terutamanya apabila sumber air berkurangan akibat cuaca panas.

“Kalau berlaku kebakaran gambut, pengurusannya agak lama.

“Jika tiada sumber air, operasi memadamkan kebakaran agak lambat untuk dikawal,” jelasnya.

Tambah Mohamad Hamdan, bagi memastikan operasi pemadaman berjalan lancar, JBPM turut bekerjasama dengan agensi tertentu bagi menangani kebakaran di kawasan hutan.

“Kalau melibatkan hutan, pihak bomba akan berkolaborasi bersama Jabatan Perhutanan, Pihak Berkuasa Tempatan, serta Angkatan Pertahanan Awam, bagi menyelesaikan isu ini.

“Jadi, pihak bomba tidak bertindak sendirian,” katanya.

Peningkatan risiko kebakaran ketika fenomena El Nino turut dapat dilihat menerusi statistik JBPM yang menunjukkan trend kenaikan kes kebakaran terbuka di seluruh negara.

Sehingga Mac 2026, sebanyak 12,938 kes kebakaran direkodkan, dengan kebakaran belukar mencatat 11,147 kes, manakala kebakaran hutan merekodkan 1,047 kes.

Mengulas punca kebakaran ketika fenomena El Nino, Mohamad Hamdan berkata kebanyakan insiden kebakaran berpunca daripada kecuaian manusia, termasuk tindakan membuang puntung rokok dan menjalankan aktiviti pembakaran terbuka tanpa kawalan.

“Perokok membuang puntung rokok yang masih menyala merupakan antara penyebab utama kebakaran.

“Ada juga kes pembakaran sampah yang pada mulanya kecil, tetapi apabila ditiup angin, api merebak dan sukar dikawal,” ujarnya.

Orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka sepanjang tempoh El Nino kerana keadaan cuaca panas dan berangin boleh menyebabkan api merebak dengan cepat.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi larangan pembakaran terbuka yang bukan sahaja meningkatkan risiko kebakaran, malah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Farahin Zaidi
/ Published posts: 4

Menulis biarlah telus dengan niat yang tulus