25 views 2 mins 0 comments

Ibu Bapa Sambut Baik Perluasan HPIPT

In Berita, Komuniti
November 24, 2026
Lebih ramai mahasiswa bakal menikmati manfaat berikutan penambahan kuota bantuan HPIPT oleh Kerajaan Negeri Selangor. Foto Kecil: dari kiri, Rafida, Siti dan Qaireen

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menambah kuota penerima Hadiah Pengajian IPT (HPIPT) daripada 3,000 kepada 5,000 bermula tahun hadapan bagi meringankan beban pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke universiti buat kali pertama.

Menerusi inisiatif itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta bagi menyalurkan bantuan sekali beri sebanyak RM1,000 kepada setiap penerima yang layak.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang belanjawan negeri, 13 November lalu.

Rata-rata orang ramai menyifatkan pengumuman tersebut sebagai berita gembira kepada rakyat di negeri ini khususnya pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian ke menara gading.  

Bagi pekerja swasta, Rafida Abdul Majid, 60, inisiatif berkenaan akan membantu lebih ramai keluarga yang memerlukan untuk menampung kos perbelanjaan pengajian tinggi kelak.

“Insentif ini memang akan meringankan beban kewangan keluarga. Saya menyokong usaha kerajaan Selangor,” katanya kepada Shah Alam Times.

Sementara itu, pekerja swasta, Siti Aminah Misnan, 45, turut menyambut baik inisiatif ini kerana ia akan memudahkan persiapan anaknya untuk memasuki universiti pada tahun hadapan.

“Saya sebagai ibu bapa berasa lega dengan peruntukan baharu HPIPT ini lebih-lebih lagi dari segi pembayaran yuran dan wang saku untuk anak,” ujarnya.

Menurut suri rumah, Qaireen Rifa Abdullah, 40, meluahkan rasa gembira terhadap pengumuman tersebut memandangkan anaknya bakal melanjutkan pengajian ke menara gading.

“Walaupun insentif tersebut mungkin tidak dapat menampung keseluruhan kos pengajian, sekurang-kurangnya ia dapat menanggung perbelanjaan awal seperti pembelian barang keperluan, buku dan kos perjalanan ke universiti,” katanya.

Untuk rekod, jumlah permohonan HPIPT pada sesi 2025 dan 2026 telah meningkat melebihi 5,000 permohonan.