SHAH ALAM – Sebelum menyampaikan ucapan sulung sebagai Naib Canselor wanita pertama Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 6 September 2021, Profesor Emeritus Datuk Dr Ts Roziah Mohd Janor pernah memikul satu beban psikologi yang senyap kerana beliau sendiri tidak percaya kaumnya layak menerajui sebuah universiti mega.
Dengan lebih 30 kampus merentasi pelbagai negeri dan hampir 200,000 penuntut menumpang ilmu di bawah satu panji, skala pentadbiran UiTM terlalu raksasa.
Ketika itu, bagi Dr. Roziah, ruang seluas itu dicipta untuk kaum lelaki, terutamanya apabila wanita sering dianggap tidak mampu memikul beban kepimpinan di pejabat kerana lebih mementingkan tanggungjawab di rumah.
“Saya ingat UiTM ini perlu diterajui oleh lelaki. Saya tak percaya kebolehan wanita sebelum saya jadi Naib Canselor,” katanya kepada Shah Alam Times.
Namun, realiti pentadbiran yang diterajui selama tiga tahun meruntuhkan tembok persepsi itu.
Hari ini, figura yang baru sahaja dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus pada Istiadat Konvokesyen ke-105 ini membawa satu misi baharu memastikan kerusi pengurusan tertinggi universiti bukan lagi sebuah eksklusiviti jantina.
Di sebalik kejayaan memimpin institusi sebesar UiTM, Roziah menyimpan ketegasan pahit tentang realiti dunia akademik.
Menurutnya, wanita tidak boleh merintis jalan dengan hanya berbekalkan kelayakan yang setara, sebaliknya mereka perlu berdiri jauh di hadapan.

“Perempuan ini kena dua kali lebih pandai daripada lelaki. Kalau kita setakat sama dengan lelaki, mereka akan pilih yang lelaki,” katanya bernada sinis namun realistik.
“Gila Kerja”
Prinsip itulah yang mengegarkan kerjayanya selama lebih tiga dekad.
Perjalanan akademiknya bukan dirintis di atas karpet merah, sebaliknya bermula dengan disiplin ilmu yang ketat menyaksikannya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Matematik dari State University of New York di New Paltz pada 1985, diikuti peringkat Sarjana di West Virginia University, sebelum melengkapkan ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang statistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2003.
Ketika ITM dinaikkan taraf kepada UiTM pada 1999, beliau dipilih sebagai ejen perubahan Projek P2000.
Kredibilitinya teruji apabila beliau dipertanggungjawabkan menyemak lebih 300 program akademik menggunakan pendekatan kurikulum berasaskan hasil (OBE) serta mengemudi Status Swaakreditasi universiti.
“Memang ia satu tugas berat yang hanya mampu dilaksanakan individu “gila kerja,” seloroh wanita berusia 63 tahun itu.
Bagi Roziah, perubahan budaya organisasi tidak boleh disandarkan pada harapan kosong. Ia menuntut dasar yang bertaring dan angka yang boleh diukur.
Justeru, beliau mencadangkan agar pihak universiti menilai peratusan semasa wanita dalam Senat dan pengurusan tertinggi, sebelum menetapkan sasaran dan tempoh untuk mencapainya.
“Kalau tak ada sasaran, nobody move. Mana dasarnya? Mana punca kuasanya?” katanya.
Statistik Kementerian Pengajian Tinggi pada 2022 pernah mendedahkan jurang yang membimbangkan apabila wanita hanya memegang 14 daripada 87 jawatan pembuat keputusan di universiti awam (16.09 peratus), jauh daripada sasaran 30 peratus yang diletakkan.
Tegas Roziah, angka 30 peratus itu bukan sekadar kuota hiasan, tetapi satu garis asas yang wajib dikawal selia di peringkat universiti.
Beliau mengingatkan bahawa kekangan masa sering menjadi duri dalam daging bagi wanita.
Majoriti pensiswazah wanita hanya menamatkan pengajian PhD pada usia pertengahan 30-an, waktu di mana komitmen keluarga sedang memuncak.

Jejak langkah Roziah merentasi pelbagai pengiktirafan besar daripada Ahli Majlis Pendidikan Tinggi Negara hingga Pengerusi Anugerah MQA Kebangsaan 2025, selain mencatat sejarah tersendiri dalam Malaysia Book of Records (MBR) pada 2022 kerana menyampaikan skrol kepada 15,322 graduan dalam satu istiadat konvokesyen.
Namun, di sebalik gelaran Datuk, pengiktirafan Invikta Top 30 Women of Excellence, dan lambakan pencapaian lain, falsafah hidupnya tetap berakar pada satu garis panduan peribadi.
“Saya tak bersaing dengan orang lain. Saya bersaing dengan diri saya sendiri. Saya mahu jadi lebih baik hari ini berbanding semalam,” ujarnya lagi.
Baginya, kehadiran wanita di menara gading bukan lagi sekadar pelengkap statistik, tetapi nadi pemikir yang layak duduk di kerusi nakhoda.
