426 views 2 mins 0 comments

Forum Arsyad Ayub 2025 Himpun Tokoh, Pakar Bincang Hala Tuju Ekonomi Bumiputera

In Berita, Ekonomi
November 27, 2025
Saiful Azhar (kiri) menyampaikan penghargaan kepada Mustapa Mohamed (kanan) sambil disaksikan Tengku Permaisuri Norashikin pada program Forum Arshad Ayub 2025 di Perpustakaan Raja Tun Uda, di Seksyen 13. (Foto: MPP UiTMCS)

Shah Alam – Forum Arshad Ayub 2025 anjuran Persekutuan Alumni UiTM (PAU) berjaya menghimpunkan beberapa tokoh dan pakar ekonomi di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13, di sini.

Antara tokoh terlibat bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengarah Penyelidikan Institusi Penyelidikan Khazanah (KRI) Dr Suraya Ismail dan Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Presiden Persekutuan Alumni UiTM (PAU), Saiful Azhar Shaharun berkata pengukuhan jaringan ilmu dan profesional Bumiputera merupakan tunjang penting dalam memastikan kemajuan sosioekonomi negara dapat dinikmati secara inklusif dan seimbang.

“Realiti hari ini menuntut anak bangsa untuk menjadi pencipta kekayaan, pendahulu inovasi, pemegang kuasa ekonomi yang hanya boleh dimahsulkan melalui pendidikan.

“Hasilnya, melalui neraca pendidikan, hampir 900 ribu alumni UiTM telah dilahirkan dengan gambaran satu daripada 22 anak bangsa adalah graduan ITM atau UiTM,” katanya.

Forum yang julung kali diadakan itu mendapat kerjasama Yayasan Budiman UiTM dan Yayasan Arshad Ayub  membincangkan hala tuju ekonomi inklusif bagi memperkukuh agenda anak bangsa melalui peranan dan sumbangan rangkaian alumni.

Tambah Saiful Azhar lagi, terdapat jurang dalam aspek perekonomian anak watan, pegangan ekuiti yang tidak mencapai sasaran serta soal penggajian yang tidak mengikut pasaran.

“Justeru, isi utama forum ini mendedahkan realiti ekonomi semasa yang berdampak besar terhadap golongan berpendapatan rendah dan belia dalam mendepani cabaran mobiliti sosial,” tegasnya lagi.

Tambahnya, forum ini melengkapi usaha yang telah dan sedang dilaksanakan kerajaan khususnya melalui Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dan pelbagai lagi inisiatif lain merentasi agensi kerajaan serta organisasi.

Terdahulu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menyempurnakan perasmian program dan menyampaikan cenderahati kepada panel dan rakan strategik forum tersebut.

Turut hadir, balu allahyarham Tun Arshad Ayub, Toh Puan Zaleha Mohd Arshad yang turut merestui pengabdian nama Allahyarham Tun Arshad Ayub dalam platform wacana ini.

Muhammad Sahil
/ Published posts: 3

Semoga tulisan ini dapat membuka hati para pembaca.