Shah Alam – Keadaan sebuah hentian bas yang uzur di Persiaran Dato Menteri, Seksyen 11 di sini, mencetuskan kebimbangan orang ramai apabila kerosakan pada kemudahan awam itu dikhuatiri boleh mengundang risiko kepada keselamatan pengguna.
Aduan berhubung keadaan hentian bas terbabit mula tular selepas seorang pengguna memuat naik laporan melalui aplikasi Respons Rakyat MBSA sebelum ia dikongsi meluas di media sosial.
Menurut pengguna berkenaan, struktur hentian bas itu didapati rosak dan tidak diselenggara dengan baik, manakala tong sampah berhampiran dilaporkan terjatuh ke dalam longkang sehingga mencemarkan persekitaran.
Katanya, kawasan sekitar hentian bas itu juga dipenuhi sampah sarap selain terdapat pembukaan besar di bahagian tepi yang boleh membahayakan pengguna dan pejalan kaki yang melalui lokasi berkenaan.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengguna pengangkutan awam, malah boleh mengundang kemalangan sekiranya tidak ditangani segera,” menurut aduan itu.
Lebih membimbangkan, laluan pejalan kaki yang bersambung ke hentian bas itu didapati pecah, tidak sekata serta mempunyai permukaan yang tidak sesuai untuk dilalui, terutamanya oleh golongan rentan.

Keadaan itu dikatakan memberi risiko tinggi kepada golongan rentan termasuk orang kurang upaya (OKU) berkerusi roda, ibu bapa yang menggunakan stroller serta individu yang mempunyai masalah penglihatan.
Selain itu, permukaan laluan yang rosak turut menyukarkan pergerakan warga emas dan boleh menyebabkan kejadian tergelincir atau terjatuh ketika menuju ke hentian bas.
Pengadu turut menggesa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan segera bagi membaiki kerosakan sedia ada sebelum keadaan menjadi lebih buruk atau mengakibatkan insiden tidak diingini.
