150 views 2 mins 0 comments

Program Pelita Ukhuwah Komuniti Sejagat, Erat Hubungan Mahasiswa dan Komuniti

In Berita, Komuniti
May 20, 2026
Simbolik penyerahan bungkusan pek makanan di Masjid Seksyen 7 kepada Kak Su (kiri) selaku pengurus dapur masjid oleh Prof Madya ChM Dr Haji Mohammad Noor (tengah), Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM sambil disaksikan oleh Hisyam Che Mat, Pengetua UPNR UiTM Shah Alam (Gambar oleh JPNR)

SHAH ALAM – 600 pek makanan berjaya diagihkan kepada mahasiswa dan komuniti sekitar Seksyen 7 dalam usaha merapatkan silaturahim menerusi Program Pelita Ukhuwah Komuniti Sejagat anjuran Unit Pengurusan Non Resident (UPNR) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Program dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Non Resident (JPNR) ini diadakan di Masjid Seksyen 7.

Menurut Pengarah Program, Raja Muhammad Akmal Raja Nizam, program yang pada asalnya hanya melibatkan pelajar non resident (NR) telah diperluas kepada penghuni kolej bagi mengukuhkan hubungan antara mahasiswa di UiTM Shah Alam.

Pek makanan tersebut disediakan dan diagihkan dengan penglibatan semua kolej kediaman UiTM antaranya Kolej Melati, Kolej Mawar dan Kolej Seroja.

Antara menu yang disediakan adalah mi kari, mi hailam, mi sup dan mi kantonis hasil tajaan mi daripada Vit’s Noodles.

“Sambutan sangat bagus dan melepasi ekspektasi saya dan kami tidak sangka begitu ramai yang hadir sehingga makanan tidak sempat dimasak kerana terlalu cepat habis,” katanya kepada Shah Alam Times.

Tambahnya, kelainan penganjuran program kali ini ialah mahasiswa sendiri bergotong-royong untuk memasak makanan berbanding menempah makanan menggunakan perkhidmatan katering seperti sebelum ini. 

Proses penyediaan 600 pek makanan oleh mahasiswa untuk diagihkan kepada pelajar dan komuniti masjid (Gambar oleh JPNR)

“Ini kali pertama kami memasak sendiri secara besar-besaran, sebelum ini kami hanya menempah katering dan cara ini lebih menjimatkan bajet dan pada masa yang sama memberi pengalaman baharu kepada ahli jawatankuasa,” katanya.

Raja Muhammad Akmal percaya bahawa program seperti ini mampu memupuk nilai keprihatinan dan semangat kebersamaan antara mahasiswa.

“Bila pelajar memasak sendiri, mereka akan lebih menghargai makanan dan memahami susah payah menyediakan makanan dalam kuantiti yang besar, dan dari situ timbul rasa prihatin dan semangat kerjasama di dalam diri mereka,” jelasnya.

Program tersebut melibatkan kira-kira 84 ahli jawatankuasa yang terdiri daripada JPNR, sekretariat NR dan wakil kolej kediaman dengan kos sekitar RM4 ribu. 

Sekitar program Pelita Ukhuwah Komuniti Sejagat di perkarangan Masjid Seksyen 7 (Gambar JPNR)

Sementara itu, pengurus dapur Masjid Seksyen 7 yang mesra dikenali sebagai Kak Su berkata, pihak masjid turut memainkan peranan penting dalam membantu kelancaran program melalui penyediaan tempat dan pengurusan peralatan memasak.

Proses penyediaan makanan oleh mahasiswa ini dipantau Staf Residen Kolej yang juga merupakan tenaga pengajar kursus kulinari di UiTM Kampus Puncak Alam.

Aina Nasruddin
/ Published posts: 3

Di antara kata, ada makna