452 views 2 mins 0 comments

Graduan Diseru Kuasai Kemahiran Baharu, Peka Perubahan Dunia Pekerjaan

In Berita, Kampus
May 07, 2025
Tan Sri Zarinah Anwar sewaktu menyampaikan ucapan pada Istiadat Konvokesyen ke-101 UiTM. Foto ihsan Bahagian Komunikasi Korporat UiTM.

SHAH ALAM: Graduan perlu merebut peluang untuk membina keupayaan menguasai kemahiran baharu dan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pekerjaan masa kini.

Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Zarinah Anwar berkata, perubahan teknologi dan keperluan industri memerlukan generasi graduan yang bersedia dari segi pemikiran kritis, daya tahan, pemikiran strategik serta wawasan yang luas.

“Graduan perlu peka dengan perubahan ini dan segera bertindak melengkapkan diri mereka dengan kemahiran yang relevan.

“Ini semua adalah ciri-ciri penting yang tidak boleh digantikan oleh teknologi,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-101 di Dewan Agung Tuanku Canselor, di sini, pada Selasa.

Beliau turut memetik laporan The Future of Jobs 2025 oleh World Economic Forum (WEF) yang menyatakan bahawa 63 peratus majikan mengakui jurang kemahiran dalam kalangan pekerja sebagai penghalang utama kepada pertumbuhan dan transformasi perniagaan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan para graduan mengenai peranan mereka terhadap masa depan masyarakat dan negara.

“Graduan bukan hanya bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan keluarga, tetapi juga kepada usaha menegakkan keadilan, kelestarian, dan menyokong prinsip kepelbagaian serta keterangkuman,” katanya.

Zarinah turut menekankan bahawa dunia masa kini menuntut kepimpinan yang berani dan beretika.

“Kita perlukan pemimpin yang sanggup membuat keputusan mampan, meletakkan kesejahteraan manusia melebihi keuntungan jangka pendek, dan mengamalkan integriti serta etika kerja yang tinggi.

“Cemerlang bukan semata-mata pada tahap intelektual dan kemahiran, tetapi juga disempurnakan dengan nilai murni dan sikap yang terpuji,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa nilai-nilai tersebut menjadi asas kejayaan jangka panjang setiap individu.

Turut hadir Pro-Canselor UiTM Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said dan Datuk Abdul Wahab Aziz, Pengerusi Lembaga Pengarah Tan Sri Mohd Kamil Jamil serta Naib Canselor Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib.

Istiadat konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 26,696 graduan bakal menerima diploma dan ijazah pelbagai bidang.

Arman Haqiem
/ Published posts: 1

Kebenaran Dan Hanya Kebenaran