1571 views 2 mins 0 comments

Rapid KL Tambah Laluan Baharu Shah Alam – Kuala Lumpur, Sasar 20 Peratus Kenaikan Jumlah Penumpang Harian

In Berita, Kampus
May 08, 2025
Kira-kira 1,200 penumpang dijangka mendapat kemudahan bas RapidKL susulan penambahan laluan dari Hab Pasar Seni ke dalam kampus UiTM Shah Alam. FOTO MyRapid.

SHAH ALAM: Rapid Bus Sdn Bhd memperkenalkan laluan baharu Rapid KL 750 yang menghubungkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan beberapa kawasan utama sekitar Lembah Klang, termasuk Pasar Seni dan KL Sentral.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata, inisiatif itu bertujuan memudahkan akses pengangkutan awam kepada pelajar universiti serta penduduk sekitar.

“Laluan ini turut melibatkan hentian penting seperti Hab Seksyen 2 Shah Alam dan Hentian Bandar Seksyen 14.

“Ia dijangka membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menawarkan alternatif perjalanan yang lebih efisien,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebanyak lapan buah bas disediakan bagi memastikan pengoperasian berjalan lancar.

Mengulas lanjut, Ku Jamil berkata, perkhidmatan bas 750 akan beroperasi setiap hari dari jam 6.00 pagi hingga 10.30 malam dengan kekerapan setiap 20 hingga 30 minit terutama pada waktu puncak.

“Tambang dikenakan antara RM1 hingga RM3 bergantung kepada jarak perjalanan.

“Sebagai contoh, perjalanan dari Shah Alam ke Pasar Seni dikenakan RM3 manakala perjalanan dalam kawasan UiTM hanya RM1,” jelasnya.

Menurut Ku Jamil, pelajar juga boleh menikmati diskaun melalui Kad Konsesi MyRapid, manakala warga kampus dan komuniti sekitar boleh melanggan pas My50 yang menawarkan perjalanan tanpa had dengan bayaran RM50 sebulan.

Susulan pengenalan laluan baharu ini, Rapid Bus menjangkakan peningkatan 20 peratus jumlah penumpang harian berbanding purata semasa iaitu 1,000 penumpang sehari.

“Pihak kami bersedia menambah jumlah bas sekiranya sambutan tinggi dan penggunaan mencecah lebih 85 peratus pada waktu puncak,” ujarnya lagi.

Maklumat lanjut mengenai laluan 750 boleh diperoleh menerusi laman web rasmi MyRapid atau aplikasi PULSE.

Laluan perjalanan Bas Rapid KL “New 750 Route” yang bermula dari Hab Bas Seksyen 2 Shah Alam sehingga ke Hab Pasar Seni, Platform B.

Nurul Hikmah Rumaini
/ Published posts: 3

Pena jadi suara, kamera jadi saksi.