PUNCAK ALAM – Seramai 1,100 peserta menyertai program Casuarina Sport Carnival anjuran Kolej Casuarina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam, di sini, yang berlangsung dari 17 April hingga 19 April lalu.
Karnival sukan ini diadakan bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan pelajar. Antara pertandingan sukan yang dianjurkan selama tiga hari itu, ialah e-sukan, badminton, futsal, frisbee, orienteering (sukan rekreasi pandu arah menggunakan peta dan kompas) dan tarik tali. Sebagai penutup karnival, telah diadakan Larian Maraton Ice Cream Run yang turut dapat penyertaan masyarakat setempat.
Menurut Ketua Pengarah Program Ice Cream Run, Muhammad Fahim Ab Ghapar, acara larian sejauh 3.5km bagi kategori lelaki dan perempuan pada mulanya hanya dibuka kepada pelajar UiTM sahaja. Namun atas permintaan yang tinggi, ia dibuka kepada orang awam yang turut disertai pelajar dari univerisiti lain, ahli keluarga, dan staf dari Hospital Al-Sultan Abdullah.

“Acara larian ini dinamakan sebagai Ice Cream Run untuk mengetengahkan objektif di mana konsep tersebut dapat seimbangkan gaya hidup sihat dengan hidup yang bahagia.”
“Jadi bukan kita tidak boleh makan aiskrim, kita seharusnya bersenam selepasnya untuk memastikan kestabilan,” katanya kepada Shah Alam Times.
Tambah Muhammad Fahim, acara ini turut dijayakan dengan sokongan dan komitmen daripada 54 orang ahli jawatankuasa pelaksana acara Ice Cream Run pada tahun ini.

Bagi Noornazar Hakimi, orang awam yang turut menyertai program itu, dia menganggap program seumpama ini dapat memberi manfaat terutama mengeratkan silaturahim antara mahasiswa dan masyarakat setempat.
Menariknya, semua peserta acara Ice Cream Run mendapat aiskrim percuma selepas berjaya menamatkan larian.

Menurut Penasihat Program Ice Cream Run, Jadal Hussaini, pihak penganjur telah mengambil keputusan untuk membuka permohonan penyertaan acara ini sebanyak dua kali kerana program ini menerima sambutan yang sangat tinggi.
Tambahnya, usaha dan langkah drastik yang telah diambil oleh ahli jawatankuasa pelaksana telah menyebabkan program ini berjalan dengan lancar dan jayanya.

“Harapan saya adalah agar program seperti ini masih dapat lagi diteruskan pada masa akan datang berkonsepkan santai tetapi sihat sekaligus dapat mengelakkan ramai mahasiswa daripada mengalami kesihatan mental yang semakin serius dan perlu dicegah dengan lebih awal,” katanya.
