134 views 2 mins 0 comments

Masjid Negeri Sedia Kemudahan Wifi Percuma, Ruang Santai Ulangkaji Pelajaran

In Berita, Komuniti
June 06, 2026
Keindahan Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah yang kini menjadi pusat ketenangan buat komuniti setempat. (gambar kecil: dari kanan Muhammad Azahan dan Muhammad Anas) - SAT

SHAH ALAM – Masjid negeri atau Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah menyediakan kemudahan wifi percuma dan ruang santai yang selesa kepada orang ramai, khususnya golongan yang memerlukan tempat untuk mengulangkaji pelajaran.

Ketua Unit Dakwah Domestik, Sharul Akhbar, menjelaskan bahawa pihak masjid menyambut baik usaha mengimarahkan masjid bukan sekadar tempat beribadah tetapi juga tempat melaksanakan pelbagai aktiviti. 

“Sudah menjadi trend dalam kalangan pelajar khususnya pelajar universiti untuk mengulangkaji pelajaran di masjid, jadi pihak kami turut menambah kemudahan seperti soket yang lebih banyak untuk memudahkan urusan pembelajaran mereka.

“Kami alu-alukan anak muda datang meriahkan masjid, cumanya mereka perlu menjaga adab dan kebersihan, setakat ini tidak ada halangan, jadi sesiapa yang datang tidak pernah dihalau selagi ia dapat mengimarahkan masjid,” katanya.

Ketua Unit Dakwah Domestik Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah,Ustaz Sharul Akhbar, ketika ditemui oleh Shah Alam Times. – SAT

Selain kemudahan digital, Ustaz Sharul menjelaskan bahawa pihak masjid turut menyediakan ruang fizikal seperti kawasan perbincangan luar yang fleksibel dan selesa.

Orang awam khusunya pelajar bebas memanfaatkan kemudahan tersebut untuk mengadakan perbincangan tugasan berkumpulan atau aktiviti santai.

Sementara itu, beberapa pengunjung turut melahirkan rasa teruja dan bersyukur dengan kemudahan yang disediakan itu.

Pelajar UiTM, Muhammad Anas, 24, mengakui bahawa dia lebih gemar memilih masjid berbanding kafe atau perpustakaan apabila mahukan suasana kerja yang tidak menekan.

“Suasana di perpustakaan kadangkala memerlukan tahap penumpuan yang terlalu tinggi sehingga cepat merasa letih. 

Sebaliknya, persekitaran masjid yang tenang membolehkan kami menyiapkan tugasan dalam keadaan lebih santai, malah berpeluang berehat seketika jika kepenatan tanpa merasa tertekan dengan keadaan sekeliling,” katanya kepada Shah Alam Times.

Suasana masjid yang tenang membantu pelajar untuk lebih fokus dalam mengulangkaji pelajaran – SAT

Manakala, seorang lagi pelajar, Muhammad Azahan Nafiz, 23, menyifatkan keluasan ruang masjid membolehkan perbincangan kumpulan dilakukan dengan lebih selesa berbanding ruang sempit di kafe.

“Kalau ada ahli kumpulan yang ramai untuk buat tugasan kumpulan, boleh buat perbincangan dengan selesa kerana tempat yang luas.

“Lagipun saya sendiri pun pernah datang untuk menyiapkan tugasan saya di masjid ini,” tambahnya.

Fatin Sharifuddin
/ Published posts: 3

Collecting stories. Delivering reality.