SHAH ALAM – Pasaran kopi tempatan kini dilihat semakin kompetitif kerana terdapat pelbagai jenama kopi yang muncul dengan membawa keunikan dan identiti tersendiri, tidak kira sama ada kategori kafe ataupun penyediaan produk serbuk kopi.
Melihat persaingan perniagaan yang kian sengit, Juz Coffee tampil membawa inisiatif yang lebih santai dan aktif dengan menganjurkan‘’Juz Run’ iaitu larian tiga kilometer bagi mengalakkan gaya hidup sihat.
Pada masa yang sama, aktiviti ini menjadi medium mengukuhkan lagi hubungan sesama rakan sekerja dan pelanggan.

Pendekatan tersebut membantu Juz Coffee dilihat bukan sahaja sebagai antara jenama tempatan yang memperkenalkan pilihan kopi yang unik seperti Butterscotch latte, Creme Cloud Latte atau Juz Latte, malah turut membawa budaya positif dalam komuniti.
Pengasasnya, Mohd Irfan Raziq Zakaria, 31, berkata Juz Coffee mula beroperasi pada November tahun lalu dan kini mempunyai dua cawangan iaitu di Seksyen 13, dan Puncak Jalil, Kuala Lumpur.
Jelasnya, dia tidak mahu jenama ini dilihat hanya sekadar kedai kopi, malah menjadi ruang komuniti yang menerapkan suasana kondusif serta masyarakat progresif.
“Secara peribadi, saya suka aktiviti larian dan oleh kerana itu, saya memilih aktiviti larian sebagai medium untuk menyatukan komuniti dan apa yang saya boleh lihat, sukan ini juga menjadi trend yang semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya kepada Shah Alam Times.

Tambahnya, budaya kerja positif sesama rakan sekerja turut menyumbang kepada perkembangan jenama ini bagi beroperasi secara lancar, sistematik, dan konsisten.
Juz Coffee bukan sahaja menitikberatkan kualiti dan aroma kopi yang memikat, malah juga menyediakan teh premium dengan tekstur teh yang lembut dan kaya dengan rasa menyegarkan yang mampu menarik minat serta memenuhi kepuasan pelanggan.
Jenama ini juga menyediakan menu yang menarik dan unik seperti Matcha Latte, Belgium Chocolate, penyegar dan hidangan teh seperti White Peach Oolong, Osmanthus, Dark Oolong dan Jasmine Green Milk Tea.
