SHAH ALAM – Masjid sering menjadi tempat yang membawa rasa tenang masyarakat bukan sahaja untuk beribadah, tetapi juga mencari ketenangan dan ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Sejarah Islam sendiri menunjukkan bahawa masjid sejak awal perkembangan Islam dibina sebagai pusat kehidupan komuniti.
Dalam hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW menyifatkan masjid sebagai tempat yang paling dikasihi Allah di sesuatu negeri atau qariah.
Ketika penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah pada 622 Masihi, antara perkara pertama yang dilakukan baginda ialah membina Masjid Quba, iaitu masjid pertama dalam sejarah Islam yang menjadi simbol penyatuan masyarakat Islam ketika itu.
Tidak lama kemudian, Masjid Nabawi pula dibangunkan dan berkembang sebagai pusat utama kehidupan masyarakat Islam.
Selain menjadi tempat solat, masjid tersebut turut berfungsi sebagai pusat pendidikan, tempat bermusyawarah dan ruang kebajikan masyarakat.
Ia juga menjadi lokasi masyarakat membincangkan urusan harian, sekali gus memperlihatkan bagaimana institusi masjid pada zaman Rasulullah SAW tidak pernah terpisah kepada kehidupan sosial masyarakat.
Sejak awal perkembangan Islam lagi, masjid dibina sebagai pusat kehidupan masyarakat yang menghubungkan manusia bukan sahaja dengan Tuhan, tetapi juga sesama manusia.
Seiring dengan perubahan zaman, fungsi masjid dalam sesetengah masyarakat dilihat semakin mengecil kepada aktiviti ibadah formal semata-mata.
Kehadiran golongan muda ke masjid juga dilihat semakin berkurangan dan menjadi salah satu cabaran kepada banyak institusi masjid di negara ini.
Menyedari perkara itu, pelbagai organisasi dan komuniti mula memperkenalkan pendekatan baharu untuk menghidupkan semula suasana masjid yang kian sepi itu.
Antaranya program seperti ‘Masjid Rumah Keduaku’ yang diadakan di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Program tersebut dilihat sebagai usaha mengembalikan semula peranan institusi masjid dalam mendekatkan masyarakat melalui pendekatan santai dan mesra komuniti.
Menerusi agenda tersebut, permainan tradisional dilihat menjadi medium dalam menghidupkan kembali peranan masjid sebagai pusat komuniti yang menyatukan masyarakat di setiap lapisan usia.
Program anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) itu menampilkan pelbagai permainan tradisional seperti congkak, batu seremban, dam aji dan dam ular gergasi bagi merapatkan hubungan masyarakat pelbagai generasi.

Penolong Kurator PADAT, Comiel Puteri Ibrahim, 49, berkata aktiviti tersebut bukan sahaja membantu mengekalkan warisan budaya, malah menghidupkan kembali fungsi masjid sebagai ruang komuniti untuk semua lapisan masyarakat.
“Kita juga membuka penyertaan kepada semua golongan, supaya lebih ramai masyarakat dapat bersama-sama mengimarahkan masjid,” katanya.
Selain PADAT, program tersebut turut mendapat kerjasama rakan strategik seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa lagi agensi kerajaan.
Sementara itu, juara pertandingan congkak, Nurfadhilah Mohammad Isa, 44, berkata permainan tradisional bukan sahaja menyeronokkan, malah membantu mengembangkan minda serta hubungan sosial.
“Permainan tradisional ini seronok dan pada masa yang sama dapat melatih kesabaran serta kemahiran berfikir. Bila kita bermain, kita membina semangat kerjasama, ukhuwah dan kasih sayang antara satu sama lain,” ujarnya.
Dia turut berpendapat usaha memperkenalkan permainan tradisional perlu dimulakan sejak peringkat awal persekolahan agar warisan tidak dilupakan.

Usaha menghidupkan semula permainan tradisional di kawasan masjid bukan sahaja membantu memelihara warisan budaya, malah membuka ruang kepada masyarakat pelbagai generasi untuk kembali mendekati institusi masjid dalam suasana lebih santai dan mesra komuniti.
