Setiap kali menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, umat Islam di seluruh dunia tidak akan melepaskan peluang untuk menunaikan ibadah korban sebagai tanda pengabdian kepada Allah SWT.
Di Malaysia, ibadah korban tidak sekadar menjadi lambang ketaatan kepada perintah agama, bahkan turut mengangkat nilai sosial dan kemanusiaan dalam kehidupan bermasyarakat.
Namun begitu, timbul perdebatan dalam kalangan masyarakat Islam berkenaan keutamaan melaksanakan korban di dalam negara berbanding menyalurkannya ke luar negara.
Walaupun kedua-duanya sah di sisi syarak, perbezaan pandangan ini telah membuka ruang perbincangan yang lebih luas dari sudut hukum, keutamaan tanggungjawab sosial dan kesan terhadap ekonomi tempatan.
Pandangan agama
Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, majoriti ulama berpendapat bahawa melaksanakan ibadah korban di tempat seseorang itu bermukim adalah lebih afdal.
Hal ini berasaskan kepada sunnah Nabi Muhammad SAW yang menyembelih haiwan korban di tempat Baginda berada dan mengagihkan dagingnya kepada penduduk tempatan.
Malah, tokoh ulama seperti Imam Nawawi turut menekankan kelebihan menyembelih dengan tangan sendiri atau sekurang-kurangnya menyaksikan penyembelihan tersebut sebagai satu bentuk penghayatan terhadap erti sebenar pengorbanan.
Namun dalam konteks dunia hari ini yang diwarnai dengan krisis kemanusiaan dan konflik bersenjata, ramai juga yang memilih untuk melaksanakan ibadah korban di luar negara.
Mereka beranggapan umat Islam di kawasan bergolak seperti Palestin, Syria, Sudan atau Yaman lebih memerlukan bantuan, termasuk dalam bentuk daging korban.
Atas dasar solidariti ummah dan keprihatinan global, sebahagian besar masyarakat tidak teragak-agak untuk menyumbang bahagian korban mereka ke wilayah-wilayah ini.
Pendekatan ini turut diterima oleh beberapa ulama kontemporari yang berpandangan bahawa membantu umat Islam yang sangat memerlukan juga merupakan satu bentuk keutamaan, asalkan ibadah tersebut diurus secara amanah, telus dan menepati syarak.
Dahulukan dalam negara
Meskipun begitu, persoalan yang perlu dipertimbangkan adalah sama ada keperluan masyarakat dalam negara telah benar-benar dipenuhi sebelum mengalihkan perhatian kepada luar negara.
Di Malaysia, masih ramai dalam kalangan berpendapatan rendah (B40) yang hanya dapat menikmati daging setahun sekali, iaitu ketika musim Raya Haji.
Di kawasan luar bandar misalnya, masih terdapat keluarga yang hidup dalam serba kekurangan.
Oleh itu, tidak seharusnya kita terlepas pandang terhadap jiran-jiran terdekat hanya kerana ingin membantu saudara jauh.
Dari sudut ekonomi, pelaksanaan korban dalam negara juga membawa impak besar khususnya kepada penternak tempatan di mana musim Aidiladha merupakan waktu paling terbaik untuk menjana pendapatan daripada jualan lembu, kambing dan haiwan ternakan lain.
Jika terlalu banyak penyertaan korban disalurkan ke luar negara, sektor penternakan halal di Malaysia berisiko terjejas.
Risiko korban di luar negara
Dalam pada itu, masyarakat juga perlu berhati-hati terhadap beberapa risiko yang sering dikaitkan dengan ketelusan pelaksanaan ibadah korban di luar negara.
Antara isu utama ialah kewujudan pihak tidak bertanggungjawab yang menipu peserta korban dengan mengutip wang atas nama ibadah, tetapi tidak melaksanakan seperti yang dijanjikan.
Dalam sesetengah kes, peserta korban tidak menerima sebarang bukti sahih seperti gambar, video atau laporan pelaksanaan bahkan yang lebih teruk lagi apabila ada juga kes di mana sembelihan langsung tidak dilakukan.
Selain itu, kaedah pelaksanaan korban yang tidak jelas juga sering menjadi isu di mana terdapat kebimbangan berhubung cara sembelihan yang mungkin tidak menepati syarat sah korban seperti isu umur haiwan yang tidak mencukupi, haiwan yang cacat, atau tidak disembelih oleh individu Muslim yang layak.
Ketelusan pihak pengurusan turut dipersoalkan apabila sesetengah agensi korban hanya berperanan sebagai orang tengah, di mana mereka menyerahkan sepenuhnya pelaksanaan kepada pihak ketiga di luar negara tanpa pemantauan rapi.
Keadaan ini secara tidak langsung membuka ruang kepada unsur manipulasi dan salah guna dana oleh pihak yang mengutamakan keuntungan semata-mata.
Lebih membimbangkan, apabila peserta tidak mengetahui ke mana perginya wang mereka atau siapa sebenarnya yang menerima daging korban tersebut.
Meskipun banyak organisasi kemanusiaan melaksanakan tugas dengan penuh integriti, tidak dinafikan kes-kes seperti ini boleh berlaku, yang sudah pasti akan menimbulkan keraguan terhadap keabsahan ibadah tersebut dari sudut pelaksanaan dan agihan.
Berbeza dengan korban dalam negara, di mana peserta boleh hadir menyaksikan penyembelihan, mengenal penerima, serta menyantuni golongan fakir secara langsung.
Hakikatnya, persoalan korban dalam atau luar negara perlu diperhalusi sebaik mungkin supaya matlamat ibadah dapat dicapai dan memberi manfaat kepada peserta dan penerimanya.
Kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri bergantung kepada konteks, kemampuan dan keperluan semasa.
Apa yang lebih penting ialah memastikan niat yang ikhlas, urus tadbir yang amanah dan selari dengan tuntutan agama.
Dalam keadaan tertentu, mungkin korban luar negara lebih utama, tetapi secara prinsip, mendahulukan masyarakat setempat seringkali membawa nilai keberkatan yang lebih menyeluruh.
Oleh itu, sebelum membuat keputusan untuk berkorban, sama ada di dalam atau luar negara, setiap muslim wajar bertanya kepada diri sendiri terlebih dahulu: siapa yang paling memerlukan, siapa yang akan mendapat manfaat, dan apakah ibadah ini benar-benar mencerminkan semangat pengorbanan yang sebenar?
