Setiap kali tibanya Aidiladha, umat Islam di negara ini meraikan ibadah korban dengan penuh semangat melalui laungan takbir.
Gotong-royong melapah daging dan agihan kepada masyarakat sering dilihat sebagai lambang kesatuan dan kemeriahan ummah.
Namun di sebalik kemeriahan itu, timbul persoalan yang jarang dibincangkan secara mendalam iaitu sejauh mana masyarakat benar-benar memahami bahawa ibadah korban bukan sekadar ritual tahunan, tetapi amanah ibadah yang mempunyai adab, hukum dan tanggungjawab syarak yang sangat teliti.
Hakikatnya, seekor haiwan yang disembelih atas nama ibadah boleh menjadi sumber pahala besar apabila dilakukan dengan ilmu dan keikhlasan, namun pada masa sama boleh mengundang dosa apabila dilaksanakan secara sambil lewa atau sekadar mengikut kebiasaan masyarakat.
Ibadah korban yang disyariatkan pada 10 hingga 13 Zulhijah bukan sekadar memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS, tetapi membawa mesej lebih besar tentang ketaatan mutlak manusia kepada Allah SWT meskipun terpaksa mengorbankan sesuatu yang paling disayangi.
Dalam dunia moden yang semakin sibuk mengejar simbol dan penampilan luaran, ramai terlupa bahawa roh sebenar korban bukan terletak pada jumlah lembu yang disembelih atau sebesar mana program yang dianjurkan, tetapi pada nilai takwa yang lahir daripada pengorbanan tersebut.
Ketua Biro Dakwah Surau Al-Ansor Seksyen 2, Muhammad Noh Zulamsyar Mohd Jamali berkata, antara masalah terbesar masyarakat hari ini ialah kecenderungan melaksanakan ibadah korban tanpa memahami ilmu fiqah dan adab yang berkaitan dengannya.
Menurut beliau, banyak kesilapan berlaku bukan sahaja ketika proses penyembelihan dilakukan, tetapi juga dalam aspek pengurusan dan pembahagian daging yang sering dianggap perkara kecil walaupun mempunyai implikasi besar dari sudut hukum syarak.
“Kesilapan yang lazim berlaku ialah apabila semua bahagian daging dicampurkan dan diagihkan tanpa membezakan hak peserta korban, golongan fakir miskin dan orang awam sebagaimana yang ditetapkan dalam fiqah Islam.
“Kesalahan seperti ini sering dianggap remeh kerana ramai beranggapan apa yang penting ialah haiwan sudah disembelih dan daging telah diagihkan kepada orang ramai.
“Sedangkan dalam Islam, sesuatu ibadah bukan hanya dinilai melalui niat dan semangat kebersamaan semata-mata, tetapi juga melalui kepatuhan terhadap hukum serta ketelitian dalam melaksanakan setiap amanah yang diperintahkan Allah SWT,” jelasnya.
Muhammad Noh Zulamsyar turut menjelaskan bahawa masyarakat juga sering keliru tentang hukum memberikan bahagian daging atau kulit haiwan korban sebagai upah kepada penyembelih walaupun perkara tersebut sebenarnya tidak dibenarkan oleh syarak.
Tegasnya, pemberian sedemikian hanya dibolehkan sekiranya diberikan sebagai hadiah atau bantuan kepada penyembelih yang tergolong dalam kalangan fakir miskin dan bukannya sebagai bayaran kerja.
“Kekeliruan seperti ini memperlihatkan bagaimana sesetengah masyarakat lebih menumpukan aspek teknikal pelaksanaan korban berbanding usaha memahami falsafah dan disiplin ibadah yang dituntut oleh agama,” ujarnya lagi.
Ditanya tentang tindakan segelintir masyarakat yang menjadikan semua perkara sebagai kandungan media sosial, Mohd Noh Zulamsyar mengakui ibadah korban juga tidak terlepas daripada budaya tersebut sehingga menimbulkan persoalan tentang keikhlasan dan kecenderungan mencari pengiktirafan manusia.
“Masyarakat tidak wajar terlalu mudah menghukum seseorang sebagai riak hanya kerana berkongsi aktiviti korban di media sosial kerana urusan niat merupakan penilaian Allah SWT,” katanya lagi.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar menjaga sensitiviti ketika memuat naik kandungan berkaitan penyembelihan kerana tidak semua orang selesa melihat imej darah atau haiwan yang sedang disembelih secara terbuka.
