SHAH ALAM – Setiap kali tibanya musim konvokesyen, jambangan bunga dan patung sememangnya menjadi simbolik utama buat para graduan sebagai tanda penghargaan daripada insan tersayang.
Namun, berbeza pula bagi Erieka Erdayana Nabila Azmi, graduan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah yang menerima kunjungan ‘pelumba Formula 1 (F1)’, Andrea Kimi Antonelli.
Biarpun kehadirannya tidak secara fizikal, namun sebuah papan figura (standee) dengan wajah pelumba itu ternyata memberi kejutan besar kepada Erieka Erdayana Nabila.
Antonelli merupakan pemandu lumba profesional Itali yang kini mencipta nama dalam Kejuaraan Dunia F1 untuk pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team.

Menurut graduan itu, minatnya terhadap Antonelli mula berkembang sejak pelumba itu menyertai arena F1 pada 2024, namun semakin mendalam selepas pelumba itu menjuarai Grand Prix Shanghai, tahun ini.
“Saya meminati F1 sejak tahun 2022, pada masa itu saya minat Ferrari, namun selepas Kimi memasuki arena ini pada tahun 2024 minat saya mula tertumpu kepadanya” jelasnya kepada Shah Alam Times.
Dia turut menjadikan pelumba itu sebagai sumber inspirasinya untuk terus cekal dan bersemangat menempuh cabaran sepanjang pengajiannya, selain mengagumi sokongan penuh yang diberikan keluarga pelumba itu dalam mengiringi setiap perjalanan kariernya hingga mencapai kejayaan.
“Saya amat kagum melihat cara keluarganya membantu dari dunia motorsport, seterusnya belajar go kart, sehingga ke Formula 4 dan ke Formula 1.
“Saya dapat melihat usahanya untuk kekal menjadi pelumba yang termuda dan paling laju”, tambahnya lagi.
Selain papan figura tersebut, dia turut menerima sebuah gubahan dihiasi gambar-gambar pelumba tersebut.

Dia menyifatkan hadiah-hadiah yang diberikan oleh rakan yang dia kenali lebih 12 tahun itu meninggalkan kenangan manis buat dirinya.
