Sudah tiba masanya kadar elaun Skim Khidmat Pelajar (SKP) UiTM dikaji semula secara menyeluruh selepas tidak mengalami perubahan selama dua dekad, demikian kata Presiden Persekutuan Alumni UiTM (PAUiTM), Saiful Azhar Shaharun.
Katanya, semakan segera perlu dilakukan bagi memastikan dasar universiti sentiasa selaras dengan inisiatif semasa yang diperkenalkan di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Dengan mengambil kira keadaan semasa, sudah tiba masanya ia (elaun SKP) dinilai semula dan diselaraskan kepada kadar baharu yang lebih bersesuaian.
“Universiti perlu melihat keselarasan supaya perkara ini tidak bertindih dan menjadi pertikaian, agar orang tidak mempersoalkan perbezaan antara SKP dengan inisiatif KPT,” tegasnya.
Beliau mengulas laporan Shah Alam Times kelmarin berhubung gesaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM yang meminta pengurusan universiti tersebut menyemak semula kadar bayaran SKP sebanyak RM4 yang tidak pernah disemak sejak 20 tahun lalu.
Polemik bayaran SKP kembali mendapat perhatian banyak pihak, khususnya dalam kalangan mahasiswa, berikutan pengenalan program MySISWA@Job on Campus (MySISWA@JoC) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Jun lalu yang menawarkan kadar bayaran lebih kompetitif iaitu sebanyak RM6 sejam.
Program tersebut bertujuan membantu mahasiswa di 20 universiti awam menjana pendapatan tambahan dengan bekerja sambilan di dalam kampus tanpa menjejaskan fokus pengajian mereka.
Menariknya, skop tugasan yang ditawarkan JoC dikatakan hampir sama dengan SKP meliputi bidang pengurusan pentadbiran dan operasi, perkhidmatan, teknikal, pengurusan projek serta keusahawanan, sekali gus menimbulkan persoalan tentang perbezaan kadar bayaran kedua-dua skim.
Tambah Saiful Azhar lagi, SKP merupakan satu inisiatif yang memberi manfaat besar kepada mahasiswa kerana bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan, malah menyediakan pengalaman kerja sebelum mereka menjalani latihan industri.
“SKP ini mampu memberi pengalaman bekerja dan berkhidmat kepada mahasiswa di pelbagai pusat tanggungjawab (PTJ) di dalam kampus. Ia adalah sebahagian daripada proses kemahiran membina (kemahiran) dan komunikasi dengan masyarakat.
“Sebelum pergi menjalani latihan industri, pelajar boleh memohon untuk menyertai SKP terlebih dahulu jika ingin mengisi masa lapang di luar waktu belajar atau pada waktu cuti semester,” jelasnya.
Untuk rekod, beberapa UA di negara ini sudah menawarkan MySISWA@JoC dan mendapat maklum balas positif daripada mahasiswa yang mengikuti skim tersebut.
