41 views 2 mins 0 comments

Selaraskan Bayaran SKP di UA, ikut kadar JOC – MPPK

In Berita, Kampus
July 22, 2026
Kehadiran mahasiswa sebagai pekerja sambilan dalam kampus banyak membantu melancarkan operasi universiti. - Gambar hiasan. Foto Kecil: Muhammad Irfan Firdaus

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mahu kadar bayaran skim khidmat pelajar (SKP) dalam kampus di semua universiti awam (UA) yang berbeza-beza ketika ini diselaraskan dengan elaun program MySISWA@Job on Campus (MySISWA@JOC) yang dilancarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jun lalu.

Presiden MPPK, Muhammad Irfan Firdaus Md Fauzi, berkata langkah tersebut penting bagi memastikan bayaran diterima mahasiswa yang menyertai skim tersebut sepadan dengan skop tugasan yang diberikan.

“Pada pandangan pihak kami, amat wajar dan perlu untuk skim khidmat pelajar di seluruh universiti diselaraskan mengikut kadar JOC yang telah ditetapkan KPT.

“Apabila KPT sudah ada inisiatif JOC, sepatutnya SKP di peringkat universiti turut ditransformasikan agar tidak wujud jurang elaun bagi skop kerja yang setara,” ujarnya.

Beliau mengulas laporan Shah Alam Times semalam berhubung gesaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM yang meminta pengurusan universiti tersebut menyemak semula kadar bayaran SKP sebanyak RM4 yang tidak pernah disemak sejak 20 tahun lalu.

Polemik bayaran SKP kembali mendapat perhatian banyak pihak, khususnya dalam kalangan mahasiswa, berikutan pengenalan program MySISWA@Job on Campus (MySISWA@JoC) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Jun lalu yang menawarkan kadar bayaran lebih kompetitif iaitu sebanyak RM6 sejam.

Program tersebut bertujuan membantu mahasiswa di 20 universiti awam menjana pendapatan tambahan dengan bekerja sambilan di dalam kampus tanpa menjejaskan fokus pengajian mereka.

Menariknya, skop tugasan yang ditawarkan JoC dikatakan hampir sama dengan SKP meliputi bidang pengurusan pentadbiran dan operasi, perkhidmatan, teknikal, pengurusan projek serta keusahawanan, sekali gus menimbulkan persoalan tentang perbezaan kadar bayaran kedua-dua skim.

INFOGRAFIK: Perbandingan elaun SKP UiTM dan Skim setara UA terpilih menunjukkan UiTM berada ditangga terendah dalam memberi elaun SKP – SAT

Mengulas lanjut, Muhammad Irfan Firdaus berkata, nilai RM4 yang ditetapkan UiTM langsung tidak relevan dengan kos sara hidup mahasiswa pada ketika ini.

“Sejujurnya saya terkejut dengak kadar elaun yang ditetapkan oleh UiTM kerana bagi saya, kadar tersebut sangat sedikit dan memang tidak mencukupi, terutamanya di Shah Alam.

“Perkara ini perlu dinilai semula secara serius kerana ia bukan sekadar isu elaun, tetapi keadilan dan penghargaan atas sumbangan pelajar dalam melancarkan operasi universiti,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, kadar bayaran SKP UiTM adalah antara yang terendah dalam kalangan UA di negara ini.

, , , , , , , , , , , , , ,
Aina Nasruddin
/ Published posts: 6

Di antara kata, ada makna