PUNCAK ALAM, Nov 5– Hujan lebat yang melanda Puncak Alam petang ini menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan sekitar, termasuk sebahagian kawasan kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam.
Turut dilaporkan beberapa kawasan yang terjejas adalah Alam Suria dan Saujana Utama, Sungai Buloh.
Video dan gambar yang tular di media sosial menunjukkan beberapa kawasan sekitar kampus UiTM ditenggelami air, termasuk jalan raya dan kawasan parkir berhampiran bangunan universiti berkenaan.
Pihak Fasiliti UiTM Cawangan Selangor menerusi satu memo memaklumkan bahawa staf dan pelajar UiTM Puncak Alam diminta untuk tidak menggunakan laluan Pintu 1, iaitu laluan berhampiran Fakulti Alam Bina, berikutan kawasan berkenaan telah dinaiki air.
Pagar Hospital Al-Sultan Abdullah turut dilaporkan telah ditutup susulan kejadian banjir itu.

Menerusi aplikasi Threads, beberapa pengguna turut berkongsi rakaman yang menunjukkan keadaan banjir kilat di sekitar kampus berkenaan.
Pengguna bernama @omarj2301 memuat naik beberapa video yang memaparkan kawasan sekitar bangunan Al-Tijarah, UiTM Puncak Alam, ditenggelami air.
Seorang lagi pengguna, @afiqqqdaniel, berkongsi rakaman aliran air deras berwarna keruh yang memenuhi permukaan jalan di kawasan yang dipercayai berada dalam kampus berkenaan.
Sementara itu, pengguna @nabiq65 turut memuat naik beberapa video yang menunjukkan keadaan banjir kilat di kawasan berhampiran Fakulti Alam Bina, UiTM Puncak Alam.

Warga UiTM Cawangan Selangor diminta agar mematuhi arahan polis bantuan yang sedang bertugas bagi memastikan keselamatan semua pihak.
Menurut ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), ribut petir dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Selangor pada sebelah petang dan malam.
Bagaimanapun, jumlah pelajar yang terjejas, keadaan laluan serta sebarang kejadian kecemasan susulan banjir kilat itu masih belum disahkan pihak berkuasa.
