SHAH ALAM – Sejak diperkenalkan pada 2024, program makan percuma yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada warga bandar raya ini, khususnya golongan berpendapatan rendah dan pelajar universiti.
Dalam masa sama, ia turut memberi manfaat kepada golongan peniaga kecil yang mengambil bahagian sebagai pembekal makanan dan minuman setiap kali ia diadakan, sekali gus mengukuhkan ekonomi setempat.
Namun, di sebalik niat murni tersebut, timbul persoalan sejauh mana program tersebut mampu bertahan ketika kos bahan mentah dan perbelanjaan operasi mendaki graf tanda harga hampir setiap hari akibat ketidaktentuan ekonomi, krisis geopolitik antarabangsa, dan kesan pemanasan global.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar inflasi kumpulan makanan dan minuman negara mencatatkan peningkatan 1.8 peratus pada September 2026, berbanding 1.9 peratus pada Ogos tahun sama.
Walaupun kadar inflasi sedikit penurunan, harga makanan masih kekal ditakuk lama, malah sesekali naik tanpa disedari pengguna.
Memburukkan lagi keadaan, konflik Asia Barat yang semakin meruncing ketika ini benar-benar memberi kesan kepada peningkatan kos tenaga dan bahan pertanian yang boleh memutuskan rantaian bekalan makanan antarabangsa.
Bank Dunia mengunjurkan harga komoditi makanan global meningkat kira-kira 10 peratus pada 2026 dan tujuh peratus lagi pada 2027.
Menurut laporan itu, gangguan penghantaran bijirin, ancaman fenomena El Nino serta peningkatan harga bahan api dan baja antara faktor yang boleh meningkatkan kos pengeluaran pertanian dan menjejaskan kemampuan masyarakat mendapatkan makanan pada harga berpatutan.
Tegasnya bank dunia itu, sekiranya konflik semakin meruncing, gangguan penghantaran bijirin berterusan dan fenomena El Nino menjadi lebih membimbangkan, risiko krisis makanan global boleh meningkat.
Keadaan ini perlu diberi perhatian oleh Malaysia yang masih bergantung kepada bekalan makanan dari luar negara bagi memenuhi sebahagian keperluan domestik.
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), pengeluaran bijirin tempatan hanya memenuhi kira-kira satu perempat daripada jumlah penggunaan bijirin negara.
Keperluan import bijirin Malaysia bagi tahun pemasaran 2026 dan 2027 pula diunjurkan sebanyak 7.9 juta tan, iaitu kira-kira 10 peratus melebihi purata.
Dalam laporan sama, pengeluaran padi negara pada 2026 diunjurkan sebanyak 2.1 juta tan, iaitu 4.5 peratus lebih rendah berbanding purata lima tahun, antaranya disebabkan masalah banjir dan cuaca kering.
Data tersebut menunjukkan bahawa bekalan makanan negara turut terdedah kepada faktor luar seperti perubahan iklim dan kebergantungan terhadap import.
Sekiranya gangguan bekalan serta peningkatan kos pengeluaran dan pengangkutan berterusan, keadaan itu berpotensi memberi tekanan kepada harga makanan yang ditanggung pengguna dan peniaga.
Dalam konteks program makanan percuma MBSA, situasi ini menimbulkan persoalan sejauh mana pihak penganjur mampu mengekalkan peruntukan dan nilai baucar apabila kos bahan mentah meningkat.
Pada masa sama, pelaksanaan program yang melibatkan kerjasama peniaga turut memerlukan perancangan supaya bantuan yang diberikan kekal memberi manfaat kepada penerima, tanpa membebankan pihak yang menyediakan makanan.
Justeru, MBSA perlu menilai keperluan peruntukan, kos pelaksanaan serta kerjasama dengan peniaga bagi memastikan program ini dapat diteruskan secara mampan.
Penjelasan mengenai sumber pembiayaan dan perancangan jangka panjang juga penting bagi memberi gambaran sama ada inisiatif berkenaan mampu dikekalkan pada masa hadapan.
Program Makan Percuma bukan sekadar usaha menyediakan makanan secara percuma untuk sehari, sebaliknya satu inisiatif yang membawa manfaat kepada masyarakat.
Namun, kelangsungannya bergantung kepada kemampuan pihak penganjur merancang perbelanjaan dan menyesuaikan bantuan dengan perubahan kos sara hidup.
Mampukah Program Makan Percuma MBSA terus dilaksanakan pada masa hadapan dengan nilai baucar RM10 yang sama, atau sudah tiba masanya pendekatan bantuan itu dinilai semula agar kekal relevan dengan keperluan masyarakat?
