19 views 2 mins 0 comments

GEFC lancar Jersi Baharu, Pembakar semangat bersaing dalam Liga Footgolf Microleap Malaysia 2026

In Sukan
May 21, 2026
Pelancaran jersi GEFC bersedia membakar azam pasukan dalam saingan Footgolf Microleap Malaysia 2026 sebagai langkah kanan sebelum terbang ke Mexico bagi Piala Dunia Footgolf 2026, bulan depan.

Shah Alam – Kelab Footgolf Gemilang Empire (GEFC) melancarkan jersi baharu pasukan sebagai simbol kesediaan mereka menghadapi Liga Footgolf Microleap Malaysia 2026, sambil mengukuhkan azam menjelang Piala Dunia Footgolf 2026 di Mexico pada 3 Jun ini.

Presiden GEFC, Nizam Othman berkata, rekaan jersi tersebut membawa makna yang mendalam kepada pasukan dan pemain yang bakal bersaing di pentas Malaysia nanti.

“Konsep yang dipilih berasaskan identiti kelab dengan gabungan elemen moden, profesional dan semangat persaudaraan yang menjadi tunjang utama GEFC sejak penubuhannya.

“Warna merah jingga melambangkan keghairahan dalam mencapai kejayaan, manakala warna hitam membuktikan keutuhan kelab ke arah menjadi sebuah kelab profesional dalam sukan footgolf.

“Corak dinamik pada jersi pula melambangkan pergerakan, ketepatan dan fokus yang sangat penting dalam sukan ini,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran jersi berkenaan.

Tambah beliau, mesej utama yang ingin disampaikan melalui rekaan tersebut ialah GEFC kini semakin serius dan kompetitif dalam arena footgolf tempatan serta antarabangsa.

Jelas Nizam lagi, jersi itu turut menjadi simbol keberanian, disiplin dan kesatuan pasukan selain mencerminkan perjuangan kelab dalam membuka ruang kepada bakat tempatan untuk bersaing di peringkat dunia.

Nizam berkata, pasukan negara optimis menghadapi kejohanan tersebut hasil persiapan awal, pengalaman bertanding di luar negara dan peningkatan ranking dunia pemain Malaysia.

Barisan pengurusan dan wakil pemain menunjukkan jersi rasmi pasukan yang bakal menggalas cabaran negara dalam Liga Footgolf Microleap Malaysia 2026.

Pelancaran jersi berkenaan juga dianggap signifikan kerana ia menjadi tanda sokongan kepada skuad negara yang bakal beraksi di Piala Dunia Footgolf 2026, dengan 11 pemain kebangsaan terdiri daripada pemain GEFC.

“Pasukan kali ini dibarisi gabungan pemain lama dan baharu, selain Malaysia buat pertama kali layak dalam dua kategori iaitu kategori lelaki dan lelaki senior,” tegasnya.

Pada saingan Piala Dunia nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan F bagi kategori lelaki menentang Belanda, Slovakia, dan Hungari. Malaysia akan membuka tirai saingan menentang Hungari di Vidas, Red Course pada 3 Jun 2026.

Manakala bagi kategori lelaki senior, skuad negara yang diundi dalam Kumpulan C bakal ditentang hebat oleh England, Mexico, dan Poland. Skuad senior negara akan memulakan cabaran menentang England di Tres, Green Course pada tarikh yang sama, dengan aksi pertama dijadualkan bermula tepat jam 8:10 pagi.

Ain Dayana Fadil
/ Published posts: 2

Capturing the heartbeat of Sports