217 views 2 mins 0 comments

Aniq Kasdan cipta sejarah, Nurul Alyani rampas takhta

In Sukan
April 12, 2026
Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan (tengah) bergambar bersama Mohamad Aniq Kasdan dan Nurul Alyani Jamil yang dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati pada Majlis Anugerah Sukan (MAS) Universiti Teknologi Mara 2025, yang berlangsung baru-baru ini. Turut hadir Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin

SHAH ALAM – ATLET angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan dan atlet boling padang, Nurul Alyani Jamil dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati pada Majlis Anugerah Sukan (MAS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2025, yang berlangsung pada Jumaat.

Mohamad Aniq yang memecahkan rekod angkat berat kebangsaan sebanyak tiga kali di kejohanan Sukan SEA Thailand 2025 dan Nurul Alyani meraih pingat gangsa di Kejohanan Piala Dunia Boling Padang 2025 sebelum ini, membawa pulang sijil, jaket, piala pusingan serta wang tunai RM1,000.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan yang turut merasmikan Majlis Anugerah Sukan (MAS) UiTM 2025 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), di sini.

Mohamad Aniq berada dalam kelas tersendiri apabila unggul menjadi atlet pertama yang mempertahankan gelaran Olahragawan UiTM buat tahun keempat berturut-turut mengetepikan pencabar Amsyar Sirhan (woodball), Mohamad Syafiq Md Ariffin (memanah), Syed Afiq Fakhri (pétanque), Mohamad Nazrin Najib (kanu).

“Sungguh diluar jangkaan saya dapat pertahankan gelaran ini buat kali ke-4 berturut-turut kerana UiTM merupakan medan melahirkan atlet hebat yang berpotensi merangkul anugerah ini” kata Mohamad Aniq kepada Shah Alam Times.

Sementara itu, Nurul Alyani yang ketika ini berada di India untuk kejohanan Asia Lawnball Championship tampil membuktikan keunggulannya menewaskan Juni Karimah Noor Jamali (perahu layar), Anis Amira Rosidi (berbasikal), Nur Ain Nabilah Tarmizi (boling padang) dan Nur Izzah Azizan (ragbi).

Nurul Alyani diwakili ibunya, Awiyah Awang yang juga bekas atlet Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Pahang.

Awiyah menyifatkan segala kejayaan anaknya adalah atas usaha kerasnya selama ini dan mengambil semangat arwah ayahnya untuk terus bersinar di pentas ini.

“Alyani berjaya merealisasikan impian arwah ayahnya untuk melihat dia berjaya dalam bidang yang dia ceburi, arwah ayah pasti bangga dengannya.” jelas Awiyah.

Sebanyak 16 anugerah disampaikan antaranya Anugerah Khas, Anugerah Emas, Perak dan Gangsa, Anugerah Tokoh Sukan Alumni, Anugerah Tokoh Sukan Berjasa, Anugerah Pengurus Cemerlang, Anugerah Jurulatih Cemerlang, Anugerah Pasukan Terbaik, Anugerah Kelab Terbaik, Anugerah Sijil Penghargaan, dan Anugerah Jasamu Dikenang.

Ammar Afif
/ Published posts: 1

I don't chase people, I chase headlines.