544 views 2 mins 0 comments

UiTM Sasar Tujuh Emas di Temasya Varsity Combat Sports 2025

In Kampus, Sukan
November 12, 2025
Persiapan akhir atlet sebelum ke kejohanan vcs

SHAH ALAM— Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyasarkan tujuh pingat emas di temasya Varsity Combat Sports (VCS) yang akan berlangsung di Shah Alam dan Putrajaya dari 12 hingga 16 November.

UiTM menghantar seramai 37 atlet dan empat pengurus pasukan daripada tiga sukan tempur iaitu Taekwondo, silat dan Karate.

Pengurus pasukan Taekwondo, Muhammad Fahmi Mohd Nizam berkata, sasaran yang diletakkan adalah realistik kerana VCS menghimpunkan atlet-atlet dari seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia.

Syarulniza Abdul Jamil, Muhammad Haziq Bistaman, Muhammad Fahmi Mohd Nizam

“UiTM meletakkan harapan sebanyak dua emas pada atlet Taekwondo, tapi saya yakin kesemua atlet dapat membawa pulang pingat tak kira warna.

“Di Majlis Sukan Malaysia ( MASUM ), kita sudah pecah target kita, jadi saya yakin bahawa pencapaian MASUM akan menjadi satu penanda aras buat atlet untuk terus cuba yang terbaik di VCS,” katanya.

Sementara itu, jurulatih skuad silat, Muhammad Haziq Bistaman, yakin pesilat yang membawa cabaran kali ini mampu membawa pulang tiga pingat emas yang disasarkan.

“Pada kejohanan ini, kita telah merombak atlet dan menghantar seramai 16 orang (atlet), bagi 12 acara yang dipertandingkan.

“Walaupun terdapat pertukaran atlet, saya yakin bahawa sukan silat akan dapat lihat perubahan pada kejohanan VCS kali ini,” ujarnya.

Jurulatih sukan Karate, Syarulniza Abdul Jamil pula meletakkan harapan meraih dua pingat emas daripada enam atlet yang dihantar.

“Pencapaian di MASUM lepas menjadi pemangkin semangat buat mereka untuk memperoleh keputusan yang memberangsangkan,” jelas Syarulniza.

Atlet Taekwondo gigih menjalani latihan intensif sebagai persiapan akhir menghadapi kejohanan VCS di Kompleks Sukan UiTM.

Kejohanan VCS kali ini menjadi medan pemilihan atlet untuk mewakili Malaysia pada Kejohanan ASEAN University Game (AUG) yang akan diadakan di UiTM, tahun depan.

Untuk rekod, UiTM dinobatkan sebagai juara keseluruhan MASUM edisi tahun lalu yang menyaksikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi tuan rumah bersama.

Khairul Danish
/ Published posts: 3

Menyuluh fakta hanya dengan sebatang pena