1097 views 2 mins 0 comments

UiTM dan TalentCorp Perkasa Kesedaran Kerjaya Mahasiswa Melalui Program YES! Mynext Move

In Berita, Kampus
May 18, 2025
Kerjasama pintar di antara UiTM dan Talent Corp melalui program YES! MyNext Move Career Explorace tingkat kesedaran pelajar terhadap cabaran sebenar dunia pekerjaan.

SHAH ALAM – Lebih 180 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyertai Program YES! MyNext Move Career Explorace yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Program anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan kerjasama Pusat Psikologi dan Kaunseling serta Career Ambassador Club UiTM ini bertujuan menyediakan platform kesedaran kerjaya melalui pendekatan eksplorasi yang interaktif dan praktikal.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi.

Dr. Mohd Sazili dalam ucapannya berkata, program seperti ini memberi nilai tambah yang besar kepada pelajar dalam memahami laluan kerjaya mereka.

“Sejak tahun 2017, TalentCorp telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menyokong kesiapsiagaan pelajar UiTM memasuki pasaran kerjaya melalui sistem Profiling Kerjaya Nurturing Expert Talent (NEXT) yang kini dikenali sebagai MyNext,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, kadar kebolehpasaran graduan UiTM bagi tahun 2024 telah meningkat kepada 92.6 peratus, berbanding 89.4 peratus pada tahun sebelumnya.

“UiTM amat mengalu-alukan inisiatif pihak industri dalam memperkasakan kemahiran dan kebolehpasaran pelajar,” katanya.

Turut hadir Ketua Program Young Employability Student TalentCorp, Jamilah Sabri. Pengarah Pusat Psikologi dan Kaunseling, Wan Noraini Wan Yusoff. Ketua Projek YES! MyNext Move UiTM, Wan Nurhashima Wan Sahid, dan Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar, Prof. Madya Dr. Alwi Mohd Yunus.

Program berkonsep explorace itu mengguna pakai modul dalam sistem, MyNext bagi mendedahkan peserta kepada nilai dan falsafah kerjaya.

Sebanyak empat set permainan merangkumi aspek kesedaran kendiri, penetapan matlamat, komunikasi profesional, dan persediaan menghadapi alam pekerjaan diterapkan dalam program tersebut.

Sistem MyNext memainkan peranan penting dalam membimbing dan memberi panduan kepada pelajar bermula dari tahun pertama pengajian hingga tamat pengajian.

Usaha tersebut di diharap dapat melahirkan graduan yang lebih bersedia, yakin, dan berdaya saing dalam dunia kerjaya sebenar.

Iqhwan Hamdan
/ Published posts: 1

Pemberitaan Merupakan Sebuah Cerita Yang Mempunyai Pelbagai Sudut Pandang