483 views 2 mins 0 comments

Pattaya Lancar Program Pemulihan Dadah Berasaskan Masyarakat, Beri Peluang Kedua Kepada Lebih 30 Penagih

In Global
May 14, 2025
Lebih 30 orang penagih dadah dibawa ke program ini. Sumber : Pattaya Mail

PATTAYA -Pattaya melancarkan program berasaskan komuniti (CBTx)  di bawah “Projek Mukim Lestari untuk Penyelesaian Dadah Bersepadu” dengan tujuan memulihkan lebih 30 penagih dadah dan memberikan mereka peluang kedua dalam kehidupan.

Menurut laporan Pattaya Mail, program yang dilancarkan Datuk Bandar, Poramet Ngampichet itu merupakan sebahagian daripada strategi kebangsaan diterajui Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) dengan kerjasama agensi keselamatan dan kesihatan awam di seluruh Thailand. 

Pendekatan holistik dan berasaskan komuniti menjadi teras inisiatif untuk pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah. 

Program yang dilancarkan di Komuniti Chumsai tersebut turut melibatkan kerjasama pelbagai sektor seperti kerajaan tempatan, hospital, polis, tentera dan masyarakat setempat. 

Antara yang hadir dalam majlis tersebut ialahTimbalan Komander Polis Wilayah Chonburi, Kolonel Polis Chatree Suksir; Pakar Perubatan Pencegahan, Dr. Wichai Thanasopon; Pegawai Daerah Banglamung; ahli Majlis Bandaraya Pattaya; serta pemimpin hospital dan masyarakat setempat. 

Peserta dibahagikan kepada lapan modul pemulihan iaitu detoksifikasi perubatan, penyembuhan berasaskan kepercayaan, terapi vokasional, terapi muzik, terapi sukan, terapi keluarga, terapi berasaskan inovasi dan pemulihan psikologi.

Mereka dikehendaki mengambil ujian urin sepanjang 16 sesi sepanjang 5 bulan. Setelah selesai, mereka akan menerima sijil daripada Hospital Pattaya Patthammakhun sebagai pengiktirafan serta dorongan dalam perjalanan pemulihan mereka.

Inisiatif ini menandakan langkah penting ke arah pembaharuan dadah yang lestari di Pattaya melalui penglibatan masyarakat dan kerjasama antara agensi dan memberi kuasa kepada mereka yang bergelut dengan ketagihan untuk membina semula kehidupan mereka. 

Pada Januari yang lalu, Perdana Menteri Thailand telah memperkenalkan polisi “Seal Stop Safe” dengan kerjasama agensi-agensi daerah sempadan bagi membanteras kes dadah di negara tersebut.

Balqis Qadisah
/ Published posts: 3

Bakal wartawan anda yang akan menyulam kata menjadi berita.