425 views 2 mins 0 comments

Polis Bhandara Lancar Majalah Digital, Didik Masyarakat Tangani Ancaman Jenayah Siber

In Global
November 03, 2025
Noorul Hassan (dua dari kiri) bersama Menteri Keselematan Maharashtra, Ajit Pawar (tiga dari kanan) mempamerkan majalah Shauryagatha semasa majlis pelancaran majalah tersebut di Bhandara, Maharashtra, baru-baru ini. (FOTO: bhandarapolice)

MAHARASHTRA: Polis di barat India melancarkan sebuah majalah digital yang pertama sebagai sebahagian daripada strategi memperkasakan penduduk dalam usaha menentang jenayah.

Inisiatif penerbitan majalah dikenali Shauryagatha itu diketuai oleh Superintenden Polis Bhandara, Noorul Hasan, dengan bimbingan Inspektor Jeneral Sandeep Patil.

“Tujuan utama majalah ini ialah untuk menyebarkan kesedaran tentang pencegahan jenayah, keselamatan diri, dan perlindungan terhadap penipuan siber.

“Sebagai platform mesra rakyat, majalah ini menyampaikan maklumat penting terus ke telefon bimbit dan komputer riba, menjadikannya mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Sehingga kini, empat edisi telah diterbitkan merangkumi pelbagai topik untuk mendidik penduduk tentang cara mencegah jenayah, melindungi keluarga, dan sentiasa berjaga-jaga terhadap penipu dalam talian.

Noorul berkata, penerbitan itu juga memberi pelbagai nasihat tentang cara mengenal pasti ancaman siber, mengelak daripada ditipu, serta langkah yang perlu diambil sekiranya seseorang menjadi mangsa jenayah.

Majalah itu turut menonjolkan kejayaan Polis Bhandara, termasuk pencapaian cawangan jenayah tempatan, serta tindakan berani dan langkah inovatif yang diambil oleh Noorul dalam membasmi operasi mafia pasir, rumah judi dan aktiviti restoran haram di Bhandara.

Tambah Noorul lagi, majalah tersebut akan membekalkan rakyat dengan ilmu supaya mereka dapat kekal selamat dan melawan jenayah dalam era digital ini.

“Bentuk digital majalah ini membolehkan ia disebarkan secara luas melalui WhatsApp, e-mel, dan media sosial.

“Penduduk tempatan telah menerima baik inisiatif ini, seorang penduduk menyatakan, “Ia seperti membawa manual keselamatan di dalam poket kita,” ujarnya.

Dengan peningkatan jenayah siber di seluruh Maharashtra, langkah ini dilihat sebagai berpotensi membawa perubahan besar dan pakar berpendapat bahawa usaha seumpama ini boleh membantu menurunkan kadar jenayah secara signifikan.

Mirrah Ahmad
/ Published posts: 1

Fakta jadi cerita, cerita jadi sejarah