443 views 2 mins 0 comments

UiTM Dipilih Sebagai Hab Utama Sukan Selam Skuba

In Berita, Kampus, Sukan
November 03, 2025
Atlet selam skuba dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ( APMM ) sedang membuat latihan di Kompleks Kolam Renang UiTM

SHAH ALAM – Kompleks Kolam Renang Universiti Teknologi Mara ( UiTM ) mencipta sejarah baharu apabila dipilih menjadi hab utama bagi melahirkan atlet sukan selam skuba peringkat kebangsaan bermula tahun ini. 

Presiden Sport Diving Association Malaysia (SDAM), Norazila Mohd Kamarudzaman, berkata pemilihan tempat latihan tersebut dibuat selepas mengambil kira kemudahan prasarana yang memenuhi standard piawaian antarabangsa yang dimiliki UiTM.

“Untuk dijadikan sebagai pusat pembangunan sukan selam skuba, semestinya akan terdapat beberapa penambahbaikan.

“Namun begitu, disebabkan sukan ini masih baru di Malaysia, yang penting kita dapat lahirkan atlet dalam tempat latihan yang memenuhi piawaian.

“Tambahan lokasi UiTM yang sesuai kerana pembangunan tertumpu di wilayah tengah Malaysia hampir dengan badan gabungan yang berdaftar seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” jelas Norazila ketika ditemui di Malaysia Underwater Marathon Championship 2025, di sini, pada Sabtu.

Kejohanan tersebut melibatkan penyertaan sebanyak 148 penyertaan, lebih sekali ganda berbanding edisi lepas.

Empat acara trial dipertandingkan pada edisi kali ini iaitu acara berenang selam skuba sejauh 100m, 200m, 4x100m dan junior.

Jelasnya, melalui kerjasama tersebut, UiTM akan dapat melahirkan atlet selam skuba yang mampu meraih keputusan di kejohanan dunia dalam masa tiga tahun lagi.  

Untuk rekod, Kompleks Kolam Renang UiTM dibina pada 19 Ogos 1991 yang menyediakan kolam renang berbumbung saiz olimpik (50m x 21m) yang mempunyai 10 buah lorong. Selain itu, kolam ini menyediakan bangunan-bangunan sampingan terdiri dari bilik persalinan, ruang lobby kafetaria, bilik mesyuarat, pejabat, bilik pertolongan cemas, bilik kawalan, surau, bilik plant, stor dan bilik perkakas renang.

Khairul Danish
/ Published posts: 3

Menyuluh fakta hanya dengan sebatang pena